SUNGAI BULOH - Rumah tradisi berusia lebih 50 tahun yang kini diduduki generasi ketiga, menunggu masa menyembah bumi selepas dilanggar lori hantu dipandu seorang lelaki warga Indonesia berusia 30-an, Isnin lalu.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, struktur rumah atas itu teralih kira-kira satu meter dari tiang asal dan turut meranapkan sebuah kereta Perodua Myvi yang diletakkan di halaman rumah.
Difahamkan, pemandu lori terbabit dipercayai cuba mengelak operasi Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) beberapa meter dari lokasi kejadian kerana cukai jalan tamat, selain pemandunya tidak mempunyai lesen.
Mangsa, Muhammad Nasziri Daud, 29, berkata, dia dihubungi ibunya memaklumkan kejadian sewaktu dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Kepong.
“Saya pelik macam mana rumah boleh dilanggar lori, sedangkan laluan tersebut sempit dan hanya digunakan penduduk bermotosikal atau kereta saja.
“Mujur ada kereta dan tangga jadi penahan, kalau tak rumah mungkin runtuh dan akibatkan rumah mak ayah saya yang di belakangnya juga terjejas,” katanya, semalam.
Katanya, pemandu lori melarikan diri bersama kunci selepas kejadian dan hanya beberapa wakil pemiliknya tampil pada sebelah malam untuk melihat keadaan rumah.
“Tiga kali mereka datang nak tarik lori tapi kami tak benarkan kerana mahu ganti rugi rumah dan kereta dulu. Untuk rumah saja dah rugi RM100,000 tak termasuk kos baiki kereta.
“Mulanya mereka mahu baiki saja rumah tapi kami tak setuju kerana struktur memang dah tak kuat, kemudian mereka janji mahu bina semula. Semuanya hanya cakap mulut tak ada hitam putih, seolah-olah mahu lepas tangan asalkan lori mereka diambil,” katanya.
Katanya, susulan insiden tersebut pihaknya dan keluarga dalam proses melantik peguam bagi tuntutan ganti rugi dan mendesak pemandu tersebut dikenakan tindakan.
“Rumah kosong ketika kejadian, namun insiden disedari adik yang kebetulan berada di luar rumah ayah terlihat lori berhenti sebelum bergerak merempuh rumah.
“Masalah brek menyebabkan lori bergerak sendiri dan pemandunya ketika itu berada di luar untuk meninjau jalan yang boleh dilalui. Terkejut dengan kejadian itu dia melarikan diri di jalan utama sebelum hilang di kawasan perumahan baru Aman Puteri,” katanya.
Katanya, pihaknya memberikan masa seminggu kepada pemilik lori menyelesaikan perkara itu atau diselesaikan di mahkamah.
Laporan sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada hari kejadian dan pihak berkuasa turun ke lokasi untuk siasatan.