Search This Blog

Tuesday, January 12, 2016

Lelaki dipenjara 9 bulan miliki bahan penerbitan AQAP

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap perunding syarikat minyak dan gas, Hani Yahya, 39, atas tuduhan memiliki bahan penerbitan berkaitan kumpulan pengganas Al Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP).
Hakim Datuk Nordin Hassan menjatuhkan hukuman itu apabila tertuduh yang juga seorang warga Indonesia berketurunan Arab mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa bermula semalam.
Terdahulu, Hakim Nordin dalam keputusannya berkata, kes membabitkan Al-Qaeda ini adalah serius kerana ia membabitkan keselamatan negara.
“Kita di Malaysia sentiasa ambil maklum kes yang membabitkan keganasan dan langkah pencegahan perlu diambil segera.
“Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah mengambil kira keselamatan negara dan kepentingan awam dan seimbang dengan kepentingan tertuduh. Bagaimanapun, keselamatan dan orang awam diutamakan,” katanya.
Berdasarkan pertuduhan, Hani didakwa memiliki bahan penerbitan itu di pekarangan sebuah kondominium di Jalan Hang Isap, Bukit Bintang, dekat sini, pada jam 9 malam, 24 September tahun lalu.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a), Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana bahan itu jika disabitkan kesalahan.
Sebelum ini, tertuduh tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu. Bagaimanapun, selepas kes disebut semula semalam, Hani menukar pengakuannya.
Hani yang diwakili peguam Rosal Azimin Ahmad dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan atas alasan sudah insaf dengan perbuatannya, selain akur dengan undang-undang di sini.
“Mohon dikenakan hukuman penjara yang pendek kerana anak guam saya mahu kembali ke Indonesia dan ke pangkuan keluarganya. Tertuduh berdarah Yaman dan sering ulang-alik ke negara itu atas keperluan kerja. Ini kerana dia pemilik Duta Petroleum PT dan berurusan dengan syarikat minyak dan gas di Yaman.
“Isterinya baru saja melahirkan anak pada 19 Disember tahun lalu. Kehadirannya di sini pada bulan Ogos tahun lalu kerana isterinya ketika itu sedang sarat mengandung dan tidak boleh menaiki sebarang penerbangan,” katanya.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Dusuki Mokhtar.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 7:51 AM


POLIS mengiringi Hani Yahya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur .
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/106564#sthash.awVZm7FN.dpuf

No comments:

Post a Comment