BANDA HILIR - Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis BMW X4 milik sepasang suami isteri dilarikan dua penjenayah sebaik sahaja mereka ditinggalkan di tepi jalan di Semabok di sini, hari ini.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, pasangan berusia 30-an itu dikatakan turut diacukan objek menyerupai pistol sebelum diarah masuk ke dalam kereta di belakang premis perniagaan mereka di Taman Melaka Raya, di sini.
Menurut sumber, pasangan suami isteri terbabit terlebih dahulu memakir kereta di belakang salun kecantikan mereka sebelum didatangi seorang lelaki.
"Lelaki berkenaan menyuruh wanita itu masuk ke dalam kereta pasangan terbabit dan kemudian mengacukan pistol ke arah suami wanita lalu mengarahkan memandu mengikut sebuah kenderaan di hadapan menghala Semabok sebelum mereka ditinggalkan di tepi jalan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisoner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, ketika kejadian lelaki yang mendekati mangsa itu memakai penutup muka dan berkaca mata hitam.
"Suspek turut mengambil wang tunai berjumlah RM20,000 milik pengusaha salun itu sebelum melarikan kenderaan milik mereka selepas meninggalkan pasangan terbabit di tepi jalan.
"Kita akan berusaha mengesan suspek dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 392/395 Kanun Keseksaan," katanya ketika ditemui, di sini
.