TAIPING - Polis menumpaskan serpihan geng mamak apabila berjaya menempak mati seorang lelaki dan menahan dua lagi dalam cubaaan melepaskan diri daripada sekatan polis di Plaza Tol Changkat Jering di sini, petang semalam.
Suspek dikesan selepas menyamun seorang lelaki dengan melarikan wang tunai berjumlah RM2,400 di Rasah, Negeri Sembilan, kira-kira 300 kilometer dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh berkata, suspek yang menaiki kereta jenis Volkswagen Passat bertindak agresif dengan beberapa kali merempuh kenderaan polis.
"Beberapa rempuhan ke atas kereta itu menyebabkan polis terpaksa mengelakkan diri dari dicederakan dengan melepaskan beberapa das tembakan ke atas pemandu.
"Pada masa sama, sebuah kereta suspek jenis BMW 5 series telah tiba dan cuba rempuh kereta pasukan dan berjaya keluar dari kepungan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, sebentar tadi.
Menurutnya, suspek berusia 38 tahun maut ditempat kejadian mempunyai rekod lampau dalam kes dadah dan rogol manakala dua suspek berusia 31 dan 33 tahun di tahan dan dibawa ke IPD Taiping untuk siasatan.
Pada masa sama, Osman berkata, kereta BMW berkenaan berjaya ditemui ditinggalkan di KM237.7, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Kuala Kangsar.
"Gerakan memburu suspek yang terlepas sedang digerakkan.
"Kita turut merampas sepucuk pistol jenis Barreta semi auto bersama beberapa topi lambang polis dan kastam, parang dan pelbagai nombor plat," katanya
.