KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) merampas sembilan barang termasuk dua komputer riba di rumah sewa milik blogger kontroversi, Alvin Tan dan bekas teman wanitanya, Vivian Lee.
Insp J. Sharveen Seelan yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah SKMM berkata, tujuh barang lain yang dirampas ialah satu unit jalur lebar U Mobile, dua unit pemacu pena, dua kamera, sekeping bil elektrik dan sekeping penyata bil U Mobile yang dijumpai di ruang tamu dan dapur di rumah itu.
Sharveen, saksi pendakwaan ke-13, berkata semasa serbuan dilakukan pada 15 Julai 2013, pasukan polis membawa pasangan itu, yang ketika itu ditahan reman, ke rumah berkenaan di Jalan Ipoh di sini.
"Ketika sampai, pagar jeriji dan pintu rumah itu berkunci. Selepas masuk ke rumah itu, saya mengambil gambar di beberapa bahagian di dalam rumah itu," katanya.
Menurutnya kesemua barang itu diserahkan kepada pegawai SKMM selepas serbuan tersebut.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam kes perbicaraan Alvin Tan atau Tan Jye Yee dan Vivian Lee atau Lee May Ling yang didakwa menyiarkan gambar mereka menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh...fragrant, delicious and appetising)' yang mengandungi logo halal, di laman Facebook mereka.
Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu pada 9 pagi, 12 Julai 2013, mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan.
Mereka turut didakwa terhadap pertuduhan menyiarkan gambar pornografi dalam laman Facebook sama mengikut subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 antara 9 malam 6 Julai 2013 dan 2 pagi 7 Julai 2013.
Ketika disoal balas peguam Chong Joo Tian, yang mewakili Lee, mengenai siapa pemilik barang itu, Sharveen berkata, Tan memberitahunya dua komputer riba, dua kamera, jalur lebar  dan dua pemacu pena itu adalah milik beliau.
Beliau berkata sekeping bil elektrik dan sekeping penyata bil U Mobile adalah milik tuan rumah itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Abdul Rashid Daud disambung pada 21 Januari depan. - Bernam
a