BAHAU - Kereta rasmi Kerajaan Negeri Sembilan, milik Exco Perladangan, Sumber Manusia dan Kampung Baru, Datuk L Manickam kemalangan di lampu isyarat hadapan Balai polis Bahau pagi tadi.
Insiden berlaku kira-kira jam 11.15 pagi itu hanya membabitkan Pegawai khasnya, S Thinakaran, 27 dan pemandu, P Raj Kumar, 28.
Kereta jenis Honda Accord itu remuk di bahagian hadapan selepas melanggar kenderaan di hadapannya di lampu isyarat berkenaan.
Manickam berkata, kenderaan tersebut dalam perjalanan menghala ke rumahnya di Taman ACBE, Bahau.
"Mereka dari pejabat MIC di Bahau kemudian mengambil saya di rumah sebelum bergerak ke Seremban. Namun terbabit dalam kemalangan susulan tidak sempat memberhentikan kenderaan di lampu isyarat lalu melanggar kenderaan di hadapan.
"Namun, kemalangan ini tidak membabitkan sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi.
Akibat kejadian itu, Manickam menggunakan kenderaan lain untuk ke Seremban dan telah membuat laporan polis di Balai polis Bahau lebih kurang jam 12 tengah hari
.