KUALA KRAI - Kanak-kanak tiga tahun maut selepas dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Pasir Era, petang kelmarin.
Lebih menyedihkan, Zulfiqar Nazran Muhamad dilanggar nenek saudaranya.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, dalam kejadian jam 3.45 petang itu, pemandu berkenaan dalam perjalanan dari Temangan ke rumahnya di Kampung Lepan Pauh.
Menurutnya, apabila tiba di Jalan Kampung Pasir Era, kanak-kanak itu dipercayai melintas secara tiba-tiba.
"Pemandu berkenaan tidak sempat mengelak dan telah melanggar mangsa. Mangsa maut dalam perjalanan ketika dihantar ke hospital oleh ibunya,” katanya.
Abdullah berkata, pemandu kereta Iswara berusia 48 tahun itu bagaimanapun tidak cedera dan hasil ujian air kencing didapati negatif.
"Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya
.