KUALA LUMPUR - Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (Stagg) Bukit Aman menggempur beberapa pusat hiburan dan premis judi dalam usaha membanteras kegiatan sindiket pelacuran dan perjudian dalam talian, semalam.
Seramai 114 individu termasuk 46 penjaga premis ditahan dalam serbuan di pusat judi di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan.
Turut dirampas 468 buah komputer dan wang tunai sebanyak RM4,210 dalam Ops Dadu itu.
Sementara itu, seramai 76 wanita yang dipercayai berkhidmat sebagai pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan dalam Op Noda yang dijalankan ke atas beberapa pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan Melaka.
Seramai 14 lelaki dipercayai penjaga premis turut ditahan. Kesemua individu berusia dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun dibawa ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Kedua-dua kejayaan juga disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitternya
.