ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengesan dan menahan 21 kenderaan klon di sekitar negeri ini dalam tempoh empat hari.
Pengarah Penguatkuasanya, Datuk Valluvan Veloo berkata, pelbagai model kereta dikesan di sekitar Sungai Petani dan Kulim dalam operasi khas Jumaat lalu.
“Kita percaya mungkin banyak lagi kenderaan klon tetapi belum dapat maklumat mengenai perkara itu,” katanya kepada media di Pejabat JPJ Kedah, di sini, semalam.
Menurutnya, kebanyakan kenderaan klon itu dipercayai dibawa masuk dari Singapura dan sebahagian kecil dari Thailand.
“Kita anggarkan nilai setiap kenderaan yang ditahan adalah lebih RM20,000. Jumlah keseluruhan kenderaan klon yang ditahan bernilai hampir RM500,000.
“Siasatan awal mendapati kebanyakan pemilik dan pemandu kenderaan itu mengetahui ia kenderaan klon,” katanya.
Beliau berkata, mereka yang memiliki kenderaan itu boleh disiasat dengan lima kesalahan iaitu menggunakan kenderaan tidak berdaftar, cukai jalan palsu, tiada cukai jalan, nombor pendaftaran palsu dan menggunakan kenderaan tanpa perlindungan insurans.
“Mereka yang melakukan kesalahan itu boleh dikompaun sekurang-kurangnya RM10,000,” katanya.
Pada perkembangan sama, JPJ menahan 100 kenderaan klon bermula 1 hingga 11 Januari di seluruh negara dengan nilai rampasan melebihi RM2 juta.
Antara model kenderaan yang ditahan ialah Toyota Wish, Nissan Liberty, Honda Stream, Mini Cooper Works, Honda Odyssey, Honda City, Mazda S, Toyota Vios, Honda Integra, Nissan Sentra, Mercedes, Suzuki Swift dan Toyota Vellfire.
“Mereka yang memiliki kenderaan klon atau membeli kereta dengan harga murah berbanding harga pasaran boleh buat pengesahan di mana-mana pejabat JPJ berdekatan.
“Kita sedia bantu mereka yang terbeli atau baru nak beli kereta dengan membuat carian di pejabat JPJ,” katanya.