Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, lelaki berkenaan yang juga merupakan anggota polis berpangkat Koperal mengalami kecederaan parah di belakang kepala, bahu dan lengan kanan serta luka di perut dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md. Zukir Md. Isa berkata, polis menerima maklumat menerusi talian kecemasan daripada wanita berkenaan kira-kira pukul 2.20 pagi dan mendakwa telah menikam perut teman lela­kinya itu.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua mereka berkenalan pada Februari 2015 dan menjalin hubungan cinta sebelum terputus pada Mei lalu. Dua minggu lepas, suspek kembali menghubungi mangsa untuk menjalin semula hubungan dan menyatakan tidak tahan tinggal di rumahnya kerana sering bergaduh dengan keluarga.
“Lelaki berkenaan lalu membawa suspek tinggal bersama­nya. Namun perselisihan faham berlaku setelah suspek ternampak gambar bekas isteri mangsa serta mesej antara mereka berdua dalam telefon bimbit anggota polis tersebut sehingga mendorongnya berbuat demikian,” katanya.
Difahamkan anggota polis berkenaan bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Seberang Perai Utara, Pulau Pinang dan sudah tujuh tahun menduda.
Sementara itu katanya, wanita berkenaan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 17 Januari ini.
“Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” ujarnya.