DUNGUN - Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila anak mereka yang berusia setahun sebulan terperangkap di dalam kereta yang di parkir di tepi jalan berhampiran deretan kedai, jalan Yahya Ahmad, di sini, semalam.
Bayi perempuan, Nur Zulaikha Darwisya Ahmad Zaki terperangkap kira-kira 20 minit sebelum kenderaan milik bapanya itu dipecahkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan penyelamat Dungun.
Ibunya, Mastura Sidek, 31, berkata, dia meninggalkan anak bongsunya itu bersama suami hanya beberapa minit untuk ke kedai buku dan alat tulis dan apabila kembali ke tempat letak kereta didapati anaknya itu sudah terkunci di dalam kereta.
“Saya dan seorang lagi anak berusia empat tahun ke kedai buku dan meninggalkannya bersama suami di dalam kereta. Tapi, ketika anak kami sedang bermain di dalam kereta yang enjin masih hidup, suami saya keluar seketika dan berdiri di tepi pintu kenderaan.
“Tidak disangka-sangka kereta terkunci dari dalam dan mungkin anak saya tertekan butang. Dia memang sering main dalam kereta dan suka tekan pelbagai butang yang ada.
“Saya hanya ke kedai lebih kurang 15 minit dan sekembali ke kereta suami beritahu anak kami baru sahaja beberapa minit terkunci di dalam kenderaan.
“Cubaan membuka pintu kenderaan gagal... lepas tu sepasukan bomba datang bantu,” katanya
Katanya, tidak dapat digambarkan perasaan cemas dan bimbang apabila anaknya yang pada awalnya dalam keadaan baik tiba-tiba menangis di dalam kenderaan.
“Pada awalnya pendingin hawa kereta dibuka, tapi anak saya menekan butang “off” menyebabkannya berpeluh-peluh kepanasan.
“Kejadian seperti ini tak pernah berlaku sebelum ni, sebab kami memang sentiasa berwaspada dan peristiwa ini akan jadi pengajaran untuk kami lebih berhati-hati. Perasaan lega melihat anak saya berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba walaupun mereka terpaksa memecahkan cermin kenderaan kami. Kami berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan Alhamdulillah anak saya selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Amri Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.07 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Setelah 10 minit berusaha pelbagai cara untuk membuka pintu kenderaan gagal, kami terpaksa mengambil keputusan untuk memecahkan cermin kenderaan itu. Sebelum memecah cermin kenderaan di bahagian belakang, pakar kunci juga turut dipanggil tetapi gagal membukanya. Tindakan memecah kenderaan terpaksa dibuat memandangkan ia melibatkan nyawa dan keselamatan kanak-kanak itu,” katanya
.