Sepanjang tempoh itu, kira-kira 50 orang dipercayai menjadi mangsa sindiket yang bergiat aktif di kawasan Nibong Tebal dan utara Perak dengan bayaran antara RM100 hingga RM800 bagi setiap dokumen yang dihasilkan.
Sindiket didalangi empat lelaki tempatan itu dipercayai beroperasi di rumah dan dokumen palsu itu akan diperoleh dalam masa dua minggu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Ramli Mohd. Noor berkata, bagaimanapun pada awal pagi Selasa lalu, sindiket itu akhirnya ditumpaskan dalam serbuan di tiga buah rumah di kawasan tersebut.
Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota JSJK Pulau Pinang telah menyerbu dua buah rumah di Nibong Tebal dan sebuah rumah di Parit Buntar, Perak serta menahan empat lelaki yang dipercayai terlibat dengan sindiket itu.
“Hasil serbuan kita berjaya me­rampas komputer riba, mesin pencetak, kertas , telefon bimbit serta lesen memandu dan cukai jalan palsu yang dihasilkan oleh sindiket itu.
“Kita percaya semua dokumen itu untuk diedarkan di sekitar Pulau Pinang dan Utara Perak yang diuruskan oleh ‘runner’ di JPJ di negeri terlibat,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.
Tambah Ramli, pihaknya juga telah mengesan sembilan ejen yang dipercayai terlibat dan akan menahan mereka dalam masa terdekat.
Jelasnya, kesemua suspek yang bekerja swasta berusia antara 22 hingga 45 tahun itu telah direman sehingga esok.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis masih mengesan lokasi pengedaran lesen serta cukai jalan palsu ini.
“Kita juga percaya dalam tempoh lapan tahun ini banyak dokumen JPJ palsu ini dikeluarkan di kedua-dua negeri terbabit,” ujarnya.
Sehubungan itu Ramli menggesa mana-mana individu yang mengesyaki menjadi mangsa sin­diket ini agar tampil menyerahkan lesen atau cukai jalan mereka kepada polis.
Beliau juga menasihati orang ramai agar tidak membeli lesen palsu kerana mengundang risiko lebih buruk sekiranya berlaku kecemasan.