Beberapa orang penduduk India berkumpul di sebuah bangunan yang runtuh akibat gempa bumi kuat di bandar Imphal, semalam. AFP
GUWAHATI, India 4 Jan. – Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh, manakala lebih 200 lagi cedera selepas gempa bumi kuat dengan magnitud 6.8 pada skala Richter menggegarkan timur laut negeri Manipur, India awal pagi ini.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) berkata, gempa bumi kuat itu melanda 29 kilometer di barat bandar Imphal yang turut dirasai di Bangladesh, Nepal hingga ke bandar Yangon, Myanmar.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan India, Anurag Gupta mengesahkan lima orang terbunuh di India, manakala tiga lagi terbunuh di Bangladesh, selepas mengalami strok atau serangan jantung berikutan gempa bumi tersebut.
Menurut beliau, kejadian tersebut berlaku ketika penduduk sedang tidur dan gegaran kuat menyebabkan bumbung rumah dan tangga beberapa bangunan runtuh.
“Beratus-ratus orang berlari keluar dari rumah mereka ke jalan-jalan raya dan kawasan lapang selama beberapa jam sambil menangis dan berdoa kerana takut terjadi gempa susulan,” katanya.
Dalam pada itu, kakitangan tindak balas bencana India, Kanarjit Kangujam berkata, usaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dilaporkan semakin sukar disebabkan bekalan elektrik dan jaringan telekomunikasi terputus di kawasan tersebut.
“Ini adalah gempa bumi terbesar yang pernah dirasai di Imphal.
“Anggota penyelamat sedang berusaha mencari mangsa termasuk pekerja yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang sedang dalam pembinaan. Tidak dapat dipastikan jumlah sebenar mereka yang terperangkap,” katanya.– REUTERS/AFP
No comments:
Post a Comment