Sebuah lori tangki berhenti di luar pintu masuk ke tempat penyimpanan Aliso Canyon milik syarikat SoCal Gas di Porter Ranch, California yang dicemari kebocoran gas. (Gambar kecil) papan tanda sempadan bahagian penyimpanan Aliso Canyon milik syarikat SoCal Gas di Porter Ranch, California yang dicemari kebocoran gas AFP
LOS ANGELES 7 Jan. - Gabenor California, hari ini mengisytiharkan keadaan darurat di sebuah kawasan bandar di Los Angeles berikutan kejadian kebocoran gas yang memaksa beribu-ribu penduduk berdekatan dipindahkan.
Gabenor California, Jerry Brown berkata, semua agensi kerajaan negeri telah digerakkan untuk menghentikan kebocoran yang bermula sejak Oktober lalu di pinggir bandar Porter Ranch.
Beliau berkata, pihaknya akan memantau dengan teliti keadaan dan menyediakan maklumat terkini yang tepat kepada penduduk komuniti di timur laut pusat bandar Los Angeles bagi membantu melindungi kesihatan mereka.
Isnin lalu, Brown dilaporkan telah melawat penduduk Porter Ranch di mana beribu-ribu daripada mereka telah dipindahkan ke perumahan sementara oleh syarikat gas tempatan selepas mengadu mengalami sakit kepala, loya-loya dan hidung berdarah.
“Semua agensi kerajaan negeri akan mengerahkan kakitangan negeri serta menggunakan peralatan, dan kemudahan sedia ada untuk memastikan tindak balas berterusan yang menyeluruh bagi mengekang kejadian itu,” kata Brown dalam satu kenyataan.
Jurucakap Southern California Syarikat Gas (SoCal Gas). Kristine Lloyd berkata, pihanya sedang berusaha menghentikan kebocoran gas tersebut yang dianggarkan telah melepaskan antara 30,000 dan 58,000 kilogram metana ke udara setiap jam.
“Tumpuan kami kini adalah untuk menghentikan kebocoran itu secepat mungkin dengan cara paling selamat dan meminimumkan kesannya ke atas penduduk dan alam sekitar di kawasan kediaman di Porter Ranch,” katanya dalam satu kenyataan.
Kebocoran tersebut dikesan pada 23 Oktober lalu sekitar 8,000 kaki di bawah tanah, dan SoCal Gas menganggarkan kerja-kerja pembaikan dapat diselesaikan sepenuhnya pada akhir Mac ini.– AFP
No comments:
Post a Comment