Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, em­pat suspek berusia antara 30 hingga 38 tahun itu ditahan di rumah masing-masing pada pukul 6 petang hingga 9 malam bersama wang suapan ditemukan di dalam sebuah mesin basuh di rumah salah seorang daripada mereka yang me­ru­pakan pegawai kanan.
“Berdasarkan siasatan sejak dua bulan lalu, semua suspek dipercayai menjual dokumen pemindahan mineral (Borang 13D) atau dikenali sebagai doket dalam kalangan pengusaha bauksit. Doket merupakan borang untuk mengangkut bauksit dengan tujuan sebagai jaminan perlindungan daripada tindakan penguatkuasaan.
“Suspek direman selama tujuh hari dan saya berharap kertas siasatan disiapkan supaya mereka dapat didakwa dengan segera,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah SPRM negeri, Datuk Zainul Darus.
Akhbar hari ini melaporkan SPRM mengesahkan wujud unsur rasuah dalam aktiviti perlombongan bauksit di negeri ini yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.
Menurut Azam, modus operandi yang digunakan adalah dengan menjual doket tersebut pada harga RM150 hingga RM200 sekeping sedangkan harga sebenar di kaunter PTG adalah RM1.
“Lebih 200 pelombong haram menggunakan doket itu sebagai per­lindungan untuk membawa mua­tan bauksit ke Pelabuhan Kuan­tan. Berdasarkan prosedur, Borang 13D atau doket yang mempunyai nombor siri itu hanya boleh diperoleh setelah pelombong mendapatkan kelulusan melombong daripada PTG.
“Satu borang hanya dibenarkan untuk kegunaan satu trip penghantaran dan dipegang oleh pemandu yang membawa muatan bahan mineral itu,” jelasnya.
Tambah beliau, disebabkan aktiviti suapan itu, Pahang sepatutnya menerima kutipan royalti sebanyak lima kali ganda daripada RM46.7 juta yang diterima pada tahun lalu.
Sehubungan itu, kata beliau, SPRM kini giat menjalankan siasatan dan akan melakukan beberapa tangkapan selepas ini yang bukan sahaja penjawat awam tetapi orang awam terlibat akan diheret ke muka pengadilan.
“Sebelum ini pelbagai rungutan mendakwa SPRM tidak bertindak sedangkan laporan yang diterima adalah berkaitan pencemaran alam sekitar yang di luar bidang kuasa kami,” jelasnya.
Azam turut mendedahkan sebelum ini pihaknya melakukan risikan dan siasatan berkaitan isu bauksit namun tidak menghebahkannya kerana melibatkan sensitiviti dan kerahsiaan.
“Apa sahaja laporan berkaitan rasuah kita akan siasat secara menyeluruh dan paling utama adalah mendapat kerjasama daripada orang ramai,” ujarnya.