ALOR SETAR - Dua pemandu kereta nyaris maut apabila kenderaan yang dinaiki bertembung di Kampung Bohor, Batu 5 ½ Hutan Kampung, di sini, hari ini.
Komander Operasi Bomba, Mohd Sobri Man berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6.15 pagi.
“Kita menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.22 pagi memaklumkan terdapat satu kemalangan membabitkan dua kereta.
“Sebaik tiba, kita dapati kereta Perodua Myvi dan Perodua Viva telah bertembung di lokasi kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, mangsa berusia 24 dan 25 tahun yang tersepit di bahagian pemandu berjaya dikeluarkan beberapa minit kemudian.
“Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan kerana cedera parah,” katanya.
Beliau berkata,  punca kejadian masih dalam siasatan dan operasi menyelamat tamat pada jam 7.12 pagi
.