SIBU - Polis telah menahan dua lelaki malam tadi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tembak mati seorang lelaki di Jalan Long Bridge Sabtu lalu.
Tanpa mededahkan lokasinya, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Mohd Kamal Kordi yang dihubungi hari ini mengesahkan kedua-dua suspek itu masing-masing ditahan pada jam 10.30 dan 11.30 malam tadi.
Menurutnya, kedua-dua lelaki yang tidak dinyatakan umur mereka itu kini direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Difahamkan penahanan kedua-dua lelaki berkenaan dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dalam 'Op Cantas' di sekitar bandar ini malam tadi.
Mohd Kamal turut mengesahkan tiga lelaki yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes itu telah dibebaskan pagi tadi.
Beliau berkata, polis akan merekodkan percakapan daripada teman wanita mangsa, Xiao Fen yang kini menerima rawatan di Hospital Sibu kerana kecederaan di bahu dan pergelangan tangan kirinya.
"Keadaan wanita itu stabil dan kecederaan tidak membahayakan nyawanya. Cuma 'pellet' yang berada di bahunya masih belum dikeluarkan," katanya.
Dalam kejadian 11.09 malam itu, mangsa seorang pengusaha pub di Miri, Ting Meng Min, 30, ditembak selepas selesai makan di sebuah restoran bersama teman wanita warga China itu, seorang pengawal peribadi dan beberapa rakan mereka.
Mereka dikatakan baru hendak beredar dari situ apabila sebuah Toyota Hilux berwarna putih berhenti secara tiba-tiba tidak jauh daripada mereka dan pemandunya mengeluarkan senapang patah dan melepaskan tiga tembakan.
Pengawal peribadi Ting melepaskan lima das tembakan dengan pistolnya sebelum penyerang terbabit memecut kereta mereka untuk melarikan diri menggunakan Jalan Lanang.
Mangsa meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 12.31 pagi berikutan kesan tembakan di dada kiri, bahu kiri dan di belakangnya.
Hasil siasatan awal mendapati pengawal peribadi itu sempat melihat tiga lelaki dalam kenderaan berkenaan dan percaya tembakannya mengenai seorang daripada mereka.
Polis tidak menolak kejadian berpunca daripada persaingan perniagaan dan perebutan kawasan berkaitan aktiviti kongsi gelap khasnya pengedaran dadah serta mengklasifikasikan kes sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama