PONTIAN - Seorang lelaki ditahan ketika asyik mencuri buah kelapa sawit di ladang kelapa sawit Kampung Parit Sikom, kira-kira jam 3.20 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Zakaria Abdul Rahman berkata, suspek berusia 43 tahun itu, cuba melarikan diri bersama tiga tandan kelapa sawit dengan menunggang motosikal sebaik sahaja menyedari kehadiran polis di ladang berkenaan.
“Suspek ambil buah kelapa sawit yang dilonggokkan di tepi jalan dan dimasukkan ke dalam raga motosikalnya.
“Anggota polis kemudiannya mengekori suspek yang menaiki motosikal sehingga ke hadapan pusat penimbangan hasil sawit di Kampung Parit Buluh Cina Kampung Parit Sikom,” katanya.
Beliau berkata, sebaik ditangkap, suspek mengaku mencuri hasil sawit di ladang berkenaan dan telah mencuri sebanyak tiga kali sebelum ini.
Suspek yang turut positif dadah itu telah dituduh di Mahkamah Majistret Pontian mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, sebuah pasukan khas ditubuhkan di peringkat daerah bagi mengekang masalah kecurian kelapa sawit dan pisang yang dilaporkan semakin meningkat sejak sebulan lalu.
“Hasil daripada intipan dan risikan selama hampir dua minggu, polis dapat mengesan suspek serta modus operandi yang digunakan.
“Kegiatan kecurian berlaku pada sebelah petang kerana pada waktu itu buah kelapa sawit yang telah dipotong akan dilonggokkan di tepi jalan sementara menunggu lori mengangkut hasil buah ke pusat timbang,” katanya.
Jelasnya, polis memandang serius kes kecurian kelapa sawit dan pisang yang dilaporkan kerap berlaku di daerah ini.
“Saya minta peraih tidak sesekali beli buah kelapa sawit atau pisang daripada individu yang tidak dikenali kerana dikhuatiri ia adalah hasil yang dicuri.
“Peraih juga perlu beri kerjasama dengan melaporkan kepada polis jika terdapat individu yang dicurigai menjual hasil sawit dan pisang kepada mereka,” katanya
.