Salehuddin Abdul Rahman
Turut ditahan seorang penduduk tempatan berusia 30 tahun yang difahamkan bekerja sebagai pemandu kereta sapu.
Keempat-empat mereka ditahan dalam operasi berasingan di sekitar Lahad Datu semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Salehhudin Abdul Rahman (gambar) berkata, mangsa yang berusia 45 tahun dan diculik di rumahnya di Kampung Silam, Lahad Datu turut diugut bunuh oleh suspek jika gagal membayar wang tebusan sebanyak RM50,000.
“Pada Khamis lalu, wanita terbabit membuat laporan polis dan mendakwa pada pukul 10 malam (Rabu), semasa berada di rumahnya, telah didatangi tiga lelaki bertopeng dan bersenjata api. Mereka menariknya masuk ke dalam kereta dan dibawa ke kawasan hutan Danum.
“Semasa di hutan, mangsa diugut untuk membayar sebanyak RM50,000 sebagai tebusan, jika tidak, akan dibunuh. Mangsa menghubungi ahli keluarganya bagi mendapatkan wang dan kemudiannya menyerahkan RM50,000 kepada suspek pada malam kejadian serta dibebaskan,” katanya di sini hari ini.
Salehhudin memberitahu, susulan itu polis menubuhkan pasukan petugas dan berdasarkan kepada maklumat yang diterima, polis menahan empat orang suspek untuk tujuan siasatan.
“Dua daripadanya anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan seorang anggota biasa, berusia antara 26 dan 33 tahun manakala seorang lagi orang awam,” jelasnya.
Ujar beliau, ekoran daripada tangkapan tersebut, polis merampas dua laras senjata jenis HK-MP5 dan selaras M16 milik polis selain sebuah pacuan empat roda Ford Ranger, sebuah Perodua Viva, pakai­an suspek yang digunakan semasa kejadian, wang tunai RM8,100 serta empat buah telefon bimbit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang memper­untukkan hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup dan sebatan.
Ditanya tentang motif penculikan tersebut, beliau tidak menolak kemungkinan bertujuan mendapatkan wang tebusan.
“Kita sedang siasat jika terdapat lagi suspek yang lain,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihak polis sedang memburu saki-baki ahli kumpulan penyeludup kereta yang sebelum ini aktif menjalankan kegiatan tersebut ke negara jiran.
“Dua perancang utama kegiatan itu telah ditahan baru-baru ini. Kita akan kesan saki-baki ahli kumpulan ini,” katanya.