Sebahagian mayat pelarian yang lemas diperiksa di sebuah pelabuhan berhampiran Izmir selepas bot yang dinaiki mereka karam ketika cuba memasuki Greece, kelmarin. AGENSI
ATHENS 22 Jan. – Sekurang-kurangnya 44 orang pelarian termasuk 20 kanak-kanak terbunuh dalam tiga kejadian bot karam termasuk di luar pantai Greece di Pulau Farmakonisi dan Pulau Kalolimnos, awal pagi ini dengan berpuluh penumpang lain dilapor masih lagi hilang.
Pengawal pantai Greece berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan 74 penumpang selepas dua buah bot karam di Pulau Farmakonisi dan Pulau Kalolimnos.
Sebanyak 17 mayat kanak-kanak, 17 wanita, dan 10 lelaki dijumpai.
Pasukan Pengawal Pantai Greece kini melakukan operasi mencari mangsa lain termasuk mendapat sokongan sebuah helikopter agensi sempadan Kesatuan Eropah, Frontex.
Dalam kejadian berasingan, Pengawal Pantai Turki melaporkan pihaknya menemukan tiga mayat kanak-kanak selepas sebuah lagi bot karam berhampiran pusat peranginan tepi pantai Didim.
Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran (IOM) menganggarkan kira-kira 31,000 pelarian tiba di Greece melalui jalan laut setakat tahun ini sahaja dengan kumpulan itu berharap akan dapat membina kehidupan baharu di Jerman, Sweden, atau di mana-mana negara Kesatuan Eropah.
IOM melaporkan, sebanyak 77 orang maut ketika cuba menyeberangi Laut Mediterranean antara 1 Januari dan 17 Januari lalu. – AFP
No comments:
Post a Comment