JASIN 11 Jan. – Polis membebaskan dengan jaminan seorang wanita yang menggelar dirinya Raja Kerinchi Tinggi Sumatera, Indonesia atau ‘Bonda Ratu’ bersama suaminya yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan setelah merancang untuk menganjurkan majlis penganugerahan darjah kebesaran di Sungai Rambai, Sabtu lalu.
BONDA RATU
Wanita dan suaminya itu yang berusia lingkungan 40-an itu sebelum ini ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sebuah rumah banglo di Sungai Rambai, kira-kira pukul 2 petang Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Sampornak Ismail berkata, pasangan itu direman selama empat hari bermula Jumaat lalu dan walaupun dibebaskan hari ini, siasatan ke atas mereka masih diteruskan.
“Polis membebaskan pasangan itu pagi ini dengan jaminan polis. Keluarga mereka bagaimanapun tampil untuk menjamin mereka malam tadi,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan wanita terbabit yang mengaku berasal daripada keturunan raja merancang untuk menyampaikan anugerah pingat kebesaran pada Sabtu lalu.
Dia dikatakan merancang untuk menyampaikan pingat kepada beberapa individu pada ‘Hari Kebesaran Bonda Ratu’ di Istana Ratu Mahligai, Sungai Rambai.
Antara penerima yang tersenarai dalam atur cara termasuk beberapa tokoh dalam dan luar negara dan turut diadakan ialah pemberian anugerah gelar adat kepada lima penerima.
Bagaimanapun, selepas penahanan pasangan itu pada Khamis lalu, majlis tersebut yang dirancang diadakan tidak menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment