Mahkamah Rasuah Jakarta mendapati Suryadharma, 59, melakukan jenayah rasuah dalam pengurusan ibadat haji dari 2010 hingga 2013, bermula daripada pemilihan petugas haji, penginapan jemaah dan memberi lebihan kuota haji kepada mereka yang tidak ada dalam senarai rasmi jemaah haji.
Panel hakim juga memerintahkan bekas Presiden Parti Persatuan Pembangunan (PPP) itu, membayar balik Rp1,821 bilion wang dana operasi menteri yang disalahgunakan untuk kepentingan diri, keluarga dan orang yang ada hubungan dengannya. Jika gagal berbuat demikian, dia boleh dipenjara dua tahun.
“Kami mendapati ter­tuduh secara sah dan meyakinkan bersalah me­lakukan rasuah bersama beberapa individu lain dalam kes ini,’’ kata Ketua Hakim bicara, Aswijon ketika membacakan keputusan tersebut, semalam seperti yang dilaporkan oleh beberapa media tempatan hari ini.
Panel hakim mendapati Suryadharma juga mengambil orang yang dipilih oleh ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) untuk dilantik sebagai petugas haji, walaupun tidak memenuhi syarat. Hal ini bertujuan supaya petugas haji terbabit dapat menunaikan haji secara percuma.
Bagi penginapan jemaah haji pula, beliau didapati memilih rumah yang harga sewanya lebih tinggi daripada harga yang ditetapkan oleh kerajaan Indonesia.
Beliau juga didapati mengisi lebihan kuota haji tanpa mengutamakan calon haji yang tersenarai.
“Daripada pelaksanaan ibadah haji pada 2010 hingga 2013, iaitu dalam penggunaan lebihan kuota haji, aturan dan syarat daftar haji, penginapan, pengelolaan belanja haji dan pengelolaan dana operasi menteri dari 2011 hingga 2013, telah menguntungkan tertuduh sebanyak Rp1.82 bilion dan orang lain,” kata hakim.
Ekoran perbuatan Sur­yadharma secara bersama itu menyebabkan negara mengalami kerugian kewangan sebanyak Rp27.28 bilion dan dalam wang Arab Saudi sebanyak SR17.97 juta.
Sementara itu, Suryadharma berkata, beliau akan membuat rayaan terhadap hukuman itu.
Suryadharma menjadi Menteri Agama dari 22 Oktober 2009 hingga 28 Mei 2014. Pada 23 Mei 2014, beliau menghadapi tuduhan rasuah melibatkan dana haji dan menghantar surat meletak jawatan kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 28 Mei tahun yang sama. – UTUSAN