Difahamkan, anak bongsu kepada seorang pensyarah universiti tempatan di Perlis itu koma dengan kesan lebam di bahagian dagu selain mengalami kecederaan dalaman di bahagian kepala.
Ibu mangsa, Siti Marlina Md Guzali, 34, berkata, anak lelaki bongsunya, AlFateh kelihatan tidak sihat pada hari kejadian sebelum dihantar ke taska tersebut.
"Fateh langsung tak tunjuk tanda-tanda tak sihat. Dalam kereta dia masih boleh main dengan adik-beradik lain dan minum susu badan.
"Saya terkejut bila tengok keadaannya yang lemah," katanya yang bekerja sebagai pembantu tadbir kewangan di sebuah sekolah menengah berdekatan taska.
Siti Marlina dan suaminya, Ashraf Abdullah, 35, menghantar anak lelakinya itu ke taska terbabit selepas melihat anak kedua mereka, Ariana yang kini berusia empat tahun dijaga dengan baik.
"Saya tak sangka jadi macam ini. Kami bagi kepercayaan untuk jaga anak dengan baik. Kami harap perkara sama tak berlaku pada ibu bapa lain," katanya.
Ashraf berkata, dia mengambil anak lelakinya itu di taska berkenaan selepas menerima panggilan mengatakan AlFateh demam.
Menurutnya, dia mendapati anaknya dalam keadaan lemah dan ada kesan lebam di beberapa bahagian seperti dagu.
"Saya segera bawa anak ke Pusat Rawatan Mahsuri Tanah Mahsuri, tapi dia dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas keadaan bertambah kritikal selain didakwa turut mengalami sawan," katanya.
Katanya, mereka sekeluarga terkilan kerana pengasuh tidak berterus-terang memaklumkan keadaan sebenar AlFateh, malah menafikan anaknya itu terjatuh.
"Kami harap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya memandangkan anak saya sedang koma akibat kejadian itu," katanya.

Pengasuh ditahan bantu siasatan
Sementara itu, polis akan menahan pengasuh taska berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kes kecederaan bayi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, anak ketiga kepada pasangan berkenaan dipercayai dihantar ke taska sejak 3 Januari lalu.
“Pada hari kejadian, bapa mangsa mendakwa diminta mengambil anak lelaki dari taska berkenaan selepas menerima panggilan mengatakan bayinya demam.
“Setiba di taska, bapa mangsa terkejut apabila melihat anak lelakinya dalam keadaan lemah, pucat dan memiliki kesan lebam di beberapa bahagian badan,” katanya.
Namun katanya, bapa mangsa memaklumkan pengasuh menafikan anak mereka jatuh ketika disoal.
"Hasil pemeriksaan mendapati bahagian bawah dagu kiri bayi terbabit lebam, malah tanda pendarahan dikesan pada bahagian dalam kepala bayi," katanya.
Menurutnya, bayi berkenaan dilaporkan dalam keadaan kritikal dan memerlukan rawatan dan pemantauan rapi.
"Bagaimanapun doktor belum dapat mengesahkan tempoh kecederaan dalam kepala bayi berkenaan dan sedang menunggu laporan lengkap," katanya.
Tambahnya, siasatan menunjukkan tiga pengasuh bertugas di taska berkenaan, yang mana seorang daripada mereka bertugas menjaga tiga bayi termasuklah mangsa.
"Taska berkenaan didapati tidak beroperasi ketika polis melakukan lawatan, semalam dan hasil maklumat daripada jiran memaklumkan tiada bunyi bising dari taska itu," katanya.
Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tunggu keputusan laporan  
Dalam pada itu, Pegawai Kebajikan Daerah Kubang Pasu (PKMD), Mohd Fadhuli Wahab berkata, pihak mereka sedang menunggu laporan siasatan polis dan perubatan hospital sebelum tindakan susulan.
“Pada hari kejadian, setiausaha Jawatankuasa Kanak-kanak Daerah Kubang Pasu (JKKD) terus membawa lawatan ke taska yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebaik menerima makluman.
“Bayi berkenaan didapati dalam keadaan tertiarap, manakala dia demam dan ada kesan kemerahan di dagu sebelum rawatan awal diberikan pengasuh,” katanya.
Untuk itu katanya, satu siasatan dan laporan awal dilakukan, manakala pelindung kanak-kanak Kubang Pasu ke hospital berkenaan kira-kira 9.45 malam, kelmarin.
"Siasatan awal diterima memaklumkan bayi berkenaan ditempatkan di Wad Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
“Buat masa ini, pemantauan rapi dilakukan untuk menentukan tindakan selanjut, manakala kaunselor melawat keluarga dan pengasuh untuk sesi kaunseling,” katanya.
Difahamkan, taska berkenaan berdaftar dengan JKM dan dalam proses pendaftaran pertukaran alamat memandangkan ia beroperasi di lokasi baharu.