Search This Blog

Wednesday, January 13, 2016

Bayi cedera angkara peragut

Ampang Jaya: Bayi perempuan berusia dua bulan lebam di muka akibat terjatuh daripada dakapan ibunya selepas wanita itu diragut penjenayah dalam kejadian di depan rumah neneknya di Taman Kencana, dekat sini, kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian 8.15 pagi, bayi itu dihantar ke rumah neneknya oleh ibunya.
Bagaimanapun, ketika menunggu bayi perempuan itu diambil neneknya, dua lelaki menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna hitam tiba-tiba menghampiri mereka dan meragut rantai leher si ibu sehingga berlaku pergelutan.
Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, akibat daripada pergelutan, bayi itu terjatuh sehingga mengakibatkan lebam di muka manakala ibunya turut terseret di atas jalan sehingga cedera di badan dan kepala.
Katanya, suspek gagal merampas rantai ibu mangsa dan sebaik ibu mangsa menjerit kedua-dua suspek terus melarikan diri.
"Siasatan awal mendapati tiada saksi yang melihat insiden berkenaan. Kejadian dapat dirakam oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah kilang berhampiran rumah mangsa,"katanya ketika dihubungi, petang tadi.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.
Sehubungan itu, Hamzah menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 12:18 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/106816#sthash.IUzhdJHF.dpuf

No comments:

Post a Comment