Search This Blog

Wednesday, January 13, 2016

Bayi 3 bulan koma dipercayai akibat kecuaian pusat asuhan


13 Januari 2016 12:55 AM



ALOR SETAR 12 Jan. – Seorang bapa tidak menyangka bayi lelakinya, Alfateh Ashraf berusia tiga bulan yang berada dalam keadaan sihat dan ceria ketika dihantar ke sebuah pusat asuhan di Jitra semalam bertukar menjadi tidak bermaya apabila di­serahkan kembali kepadanya.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu yang berada dalam kritikal, kini terpaksa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini selepas mengalami pendarahan dalam kepala dipercayai akibat kecuaian ketika berada dalam jagaan pusat asuhan tersebut.
Bapa mangsa, Ashraf Abdullah, 35, tidak menyangka insiden tersebut akan berlaku memandangkan isterinya Siti Marlina Md Guzali, 34, yang menghantar Alfateh kira-kira pukul 6.30 pagi berada dalam kea­daan sihat dan ceria ke pusat asuhan tersebut.
Beliau kesal kerana pihak pusat asuhan tidak menceritakan kea­daan sebenar anaknya tetapi hanya memaklumkan dia merengek dan demam ketika mendapat panggilan pada pukul 12.11 tengah hari itu.
“Saya yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis kemudian bergegas ke pusat asuhan itu dan terkejut apabila mendapati dia dalam keadaan lemah dan terdapat kesan lebam di dagu dan pipi.
“Saya kemudian terus menghantarnya ke hospital swasta di Jitra sebelum memindahkan HSB,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ashraf berkata, pihak hospital memaklumkan kepadanya bahawa Alfateh kini berada dalam kritikal serta proses pemeriksaan untuk melihat kecederaan lain sedang dijalankan.
Beliau berkata, terdapat lebam di muka dan sedikit di atas matanya, keadaan tersebut memberi kebimbangan kepada mereka sekeluarga yang baru seminggu menghantarnya ke pusat jagaan tersebut.
“Saya mahu pihak polis me­nyiasat perkara ini dan menegakkan keadilan terhadap kejadian yang menimpa anak saya,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Marlina berkata, dia sememangnya tidak menyangka perkara tersebut akan berlaku memandangkan mereka pernah menghantar anak kedua, Ariana, 4, ke pusat asuhan yang terletak kira-kira 500 meter daripada tempat kerjanya.
“Hati saya hancur dan tidak boleh cerita apa-apa. Saya kesal kerana mereka tidak berterus terang kerana anak saya sebenar­nya berada dalam keadaan sangat membahayakan pada ketika itu,” kata pembantu kewangan sekolah tersebut.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Abdul Rahim Abdullah mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/bayi-3-bulan-koma-dipercayai-akibat-kecuaian-pusat-asuhan-1.179019#sthash.24B35KJR.dpuf

No comments:

Post a Comment