Menurut Ibrahim Abdul Rahman, 53, pada 20 Disember lalu, dia bersama isterinya, Zamhani Zakaria, 50, dan Nor Azimah ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat Subuh.
“Selepas solat Subuh, Nor Azimah meminta kebenaran untuk tidur di Masjid Nabawi sebentar kerana terlalu penat dan akan berjumpa dengan kami kembali ketika solat Zohor.
“Pada masa itu, Nor Azimah tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri kerana hendak cepat dan hanya memakai gelang pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi di Madinah.
Utusan Malaysia hari ini me­laporkan, Nor Azimah dipercayai hilang sejak dua minggu lalu ketika mengerjakan umrah di Madinah dan gagal dikesan ahli keluarganya selepas kali terakhir dilihat berada di Masjid Nabawi.
Mangsa yang me­rupakan ibu tunggal telah berangkat ke Mekah untuk mengerjakan umrah bersama ibu bapanya menggunakan khidmat agensi swasta.
Menurut Ibrahim, ketika waktu solat Zohor, dia bersama iste­r­i­nya cuba mencari Nor Azimah di dalam Masjid Nabawi namun tidak menjumpainya.
“Pada waktu Asar pun saya cuba mencarinya lagi sehinggalah Isyak. Akhirnya saya membuat keputusan untuk membuat laporan polis mengenai kehilangan Nor Azimah.
“Keesokannya, saya telah pergi ke hospital untuk mencari Nor Azimah. Memang ada namanya dan dia telah mendapat rawatan di hospital itu pada hari kehila­ngannya tetapi saya dimaklumkan dia telah keluar sebelum Zohor,” katanya.
Tambahnya lagi, dia bersama isteri dan anaknya itu pergi menunaikan umrah pada 11 Disember lalu dan dijadualkan pulang ke tanah air pada 22 Disember.
“Setakat ini, masih belum ada khabar berita mengenai pene­muan Nor Azimah tetapi saya difahamkan pihak polis di Madinah telah mencari Nor Azimah di setiap hospital di sini.
“Saya akan berada di Madinah untuk membantu pihak berkuasa di sini mencari anak saya sehinggalah ditemukan dengan selamat,” katanya.