KUANTAN – Seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di persimpangan Cengkih Jalan Pintasan Kuantan di sini, pagi semalam.
Ketika kejadian pada kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Khairul Irfan Mohd Khairul Amry maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, tiga pemandu termasuk ibu kanak-kanak tersebut, Nor Fariha Ahmad, 30, mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut keluarga untuk dikebumikan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan dari arah Semambu menghala ke Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah terbabas sebelum masuk laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan dinaiki mangsa serta sebuah lagi kereta.
“Akibat kemalangan itu, mangsa  yang duduk di tempat duduk penumpang bahagian hadapan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini, semalam.
Abdul Aziz berkata, siasatan di lokasi mendapati kemalangan berlaku di laluan lurus dalam keadaan cuaca hujan.
Difahamkan, mangsa yang juga anak seorang anggota polis Unit Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan akan dikebumikan di Kampung Aur Telong, Bachok, Kelantan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.