SEREMBAN - Seramai 42 warga asing ditahan, dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Nilai, semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Hapdzan Husaini berkata, operasi yang bermula pada jam 11.30 malam itu, berjaya memeriksa 305 warga asing di dua lokasi berasingan.
Katanya, pada serbuan pertama, seramai 27 warganegara Indonesia yang berada di rumah kongsi ladang kelapa sawit Kota Seriemas Nilai telah diperiksa, dan daripada jumlah itu 25 orang Pendatang Tanpa Izin (Pati) berjaya ditangkap.
“20 orang Pati ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki memasuki Negara tanpa dokumen perjalanan yang sah.
“Manakala lima lagi, ditahan di bawah Seksyen 15 (1)(c ) akta yang sama, setelah disyaki tinggal di negara ini melebihi masa, selepas pas yang dikeluarkan kepada mereka tamat tempoh,” katanya.
Operasi kemudiannya, bergerak ke beberapa premis di pangsapuri Taman Semarak Nilai, dan hasil daripada itu seramai 198 warga asing diperiksa.
Tambahnya, daripada jumlah yang diperiksa, seramai 28 orang telah ditahan, kerana melakukan kesalahan di bawah akta imigresen.
“Seramai 11 warganegara Indonesi dan enam warganegara Bangladesh ditahan dibawah Seksyen 15 (1)(c ) akta yang sama, manakala selebihnya ditahan mengikut  Seksyen 6 (1)(c ) akta yang sama.
Katanya, kesemua yang ditahan di hantar ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.
Operasi yang berakhir 5.30 pagi itu, turut disertai oleh Pengarah MKN negeri, Tajul Ariffin Muhamad, serta dibantu oleh pasukan Rela, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pertahanan Awam (Jpam) dan polis
.