ROSLEE CHIK
Dalam tempoh 20 hari itu, 697 daripada individu yang ditahan merupakan penjaga premis mesin judi dan pusat hiburan keluarga manakala 718 lagi adalah pemain atau kaki judi.
Turut dirampas dalam serbuan oleh Skuad Taktikal Khas Anti Maksiat, Perjudian dan Gangsterisme (Stagg), Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman dan polis negeri serta daerah itu ialah 8,109 komputer yang diubah suai menjadi mesin judi dan wang tunai RM104,532.
Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, tangkapan tertinggi dibuat di Johor iaitu seramai 610 orang termasuk penjaga premis dan pemain diikuti Selangor (388) dan Kuala Lumpur (209).
Menurut beliau, Sara­wak pula mencatatkan 47 tangkapan diikuti Negeri Sembilan (21), Pulau Pinang (15), Perak (12), Sabah (11), Melaka (sembilan) dan Kedah (lapan).
“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 47 individu iaitu penjaga premis dan pemain turut ditahan D7 Bukit Aman dan Pasukan Stagg (38),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan mengenai inisiatif Jaringan Melayu Malaysia (JMM) menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Perangi Mesin Judi Slot yang memberi fokus sepenuhnya kepada penyelesaian isu lambakan premis judi.
Difahamkan, jawatankuasa yang akan dianggotai oleh 36 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara itu bertujuan menangani dan menghapuskan pre­mis-pre­mis judi yang didapati semakin berleluasa di seluruh negara.
Mengenai serbuan yang dijalankan, Roslee memberitahu, da­ripada 3,739 serbuan yang dibuat sebanyak 3,493 merupakan premis mesin judi manakala 246 lagi adalah pusat hiburan keluarga.
“Daripada jumlah keseluruhan serbuan, sebanyak 721 serbuan menghasilkan tangkapan dan rampasan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Roslee turut menjelaskan, PDRM telah melakukan secara purata antara 40 hingga 50 serbuan setiap hari terhadap premis judi di seluruh negara sejak awal tahun lalu.
Beliau sekali gus menolak dakwaan bahawa pihak berkuasa hanya mendiamkan diri dan tidak mengambil sebarang tindakan berhubung kegiatan itu.