KUALA LUMPUR - Seramai 37 warga Taiwan yang terbabit dalam sindiket penipuan 'Macau Scam' ditahan polis dalam serbuan di dua buah banglo mewah di sekitar Damansara Height dan Bukit Damansara.  
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa berkata semua suspek terdiri daripada 35 lelaki dan dua wanita berumur antara 21 hingga 41 tahun itu ditahan dalam 'Ops Pelican' pada 1 pagi Selasa lepas.  
Tajudin berkata, siasatan awal mendapati mereka yang ditahan itu juga telah diperdaya sindiket terbabit dengan menawarkan pekerjaan di Malaysia menggunakan visa pelawat namun telah dijadikan operator untuk mengendalikan aktiviti penipuan itu.  
"Siasatan mendapati mereka yang ditahan itu dikurung sepanjang masa dan tidak dibenarkan keluar dari kediaman tempat operasi mereka," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.  
Beliau berkata dalam serbuan itu polis turut merampas 51 unit modem, 47 unit telefon, 18 unit telefon bimbit, lapan unit komputer riba, tujuh pasport Taiwan dan enam pas perjalanan Taiwan ke China, satu unit tab serta pelbagai dokumen dan buku nota. - Bernama