Lelaki berusia 50 tahun ber­kenaan ditahan di pejabat SPRM ne­geri kira-kira pukul 11.55 malam tadi.
Tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah ‘orang tengah’ yang diberkas semalam kepada tiga orang termasuk seorang wanita.
Ketiga-tiga suspek telah ditahan reman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Penahanan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan individu yang telah ditahan SPRM berhubung isu bauksit meningkat kepada tujuh orang termasuk tiga pegawai penguat kuasa Pejabat Tanah dan Daerah (PTG) yang diberkas pada Rabu lalu.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, kesemua ‘orang tengah’ ini dipercayai berperanan dalam aktiviti penjualan dokumen pemindahan bijih mineral atau Borang 13D secara haram kepada pelombong-pelombong tidak berlesen.
Menurutnya, kesemua mereka merupakan orang awam dan ditahan secara berasingan dalam operasi serbuan yang bermula pukul 4 petang.
“SPRM kini giat mengesan beberapa lagi individu yang terbabit dalam jenayah rasuah sehingga menyebabkan berlakunya kegiatan perlombongan haram dan ketirisan yang dianggarkan bernilai RM187 juta dari segi hasil kutipan royalti tahun lalu.
“Kami turut menyeru orang ramai agar memberi maklumat kepada SPRM berhubung individu yang terlibat memberi serta menerima rasuah dalam isu perlombongan bauksit secara haram,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini me­laporkan penahanan dua individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan perlombongan bauksit haram.
Kedua-dua suspek yang merupakan orang awam ditahan di Kuantan petang semalam dan dipercayai berperanan sebagai ‘orang tengah’ dalam kegiatan tersebut.