SHAH ALAM - Seorang pemandu mencari adik kandungnya yang terputus hubungan sejak 15 tahun lalu.
Azizan Aziz, 48, berkata, kali terakhir dia bertemu adik kandungnya, Mohd Jeffri, 42, adalah pada 2003 sebelum Jeffri menyatakan keinginan untuk keluar mencari kerja.
Menurutnya, usaha menjejaki adiknya turut dilakukan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan di seluruh Lembah Klang, malah keluarga juga tidak mengetahui status terkini Jeffri sama ada sudah berkahwin atau tidak.
“Kali terakhir Jeffri ditemui kenalan kami ketika dia bekerja di sebuah restoran di Slim River. Apabila kami ke sana, dia dikatakan sudah berhenti kerja dan berhijrah ke Petaling Jaya.
“Usaha kami saudara mara dan kenalan mencarinya di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur tetap menemui jalan buntu. Tetapi saya percaya dia masih berada di sini (Selangor),” katanya ketika hadir ke pejabat Sinar Harian, semalam.
Azizan berkata, hubungan Jeffri dan keluarga tidak bermasalah, malah adiknya itu disifatkan seorang yang mudah mesra dan periang.
Namun katanya, sejak dia keluar mencari pekerjaan, Jeffri tidak pernah pulang ke kampung atau menghubungi keluarga.
“Kami sekeluarga amat merinduinya dan berharap sangat dia pulang bertemu keluarga. Jeffri juga gagal dihubungi untuk memaklumkan kematian kedua orang tua kami.
“Ada urusan keluarga yang memerlukan dia pulang, termasuk pembahagian harta pusaka. Jika Jeffri terbaca berita ini, pulanglah,” katanya.
Azizan boleh dihubungi di talian 019-4139759 atau melalui anak saudaranya Hisyam Zainun, 016-6665627
.