JOHOR BAHRU - Sepuluh warga asing dipercayai bekerja tanpa pas dan permit di sebuah pasar raya di Kulaijaya ditahan dalam satu operasi semalam.
Mereka bekerja sebagai pembantu kedai di medan selera pasar raya tersebut.
Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Johor Rashidin Rahmat berkata pihaknya membuat serbuan pada pukul 4 petang selepas mendapat aduan orang awam.
"Kami menahan 10 orang termasuk lapan lelaki dewasa dan dua perempuan dewasa terdiri daripada tujuh warga Indonesia, dua warga Pakistan dan seorang warga India," kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, mereka berumur antara 19 hingga 40 tahun itu, melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Rashidin berkata kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut. - Bernam
a