JUMAAT, 25 DISEMBER 2015 @ 12:13 PM
MISSISSIPPI: Wilayah di selatan Amerika Syarikat mula dilanda kebimbangan dan suasana cemas pada Khamis selepas ribut meragut sekurang-kurangnya 11 nyawa dan Mississippi mengisytiharkan perintah darurat di beberapa kawasan yang dibadai puting beliung.
![]() |
Kira-kira 100 juta penduduk Amerika dijangka bergerak sepanjang musim cuti Hari Natal ketika Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan meramalkan ribut kencang dari wilayah tengah Amerika hingga ke pantai teluk dan cuaca panas di New York.
Ribut yang diiringi angin kencang menyebabkan lebih 20 puting beliung di Arkansas, Illinois, Indiana, Mississippi, Tennessee dan Michigan.
Ribut kencang selaju 160 kilometer membadai melepasi utara Mississippi sehingga meranapkan lebih 100 kediaman dan bangunan lain sebelum beralih haluan ke barat Tennessee.
Sementara itu, Gabenor Mississippi, Phil Bryant, berkata perintah darurat diisytiharkan di kawasan yang terjejas akibat ribut membabitkan 14 puting beliung yang membadai ganas di wilayah berkenaan.
"Semua orang berkampung di sini di Mississippi hari ini bagi menghulurkan bantuan dan memantau bencana ini," katanya. - Reuters.