KUALA LUMPUR 1 Nov. – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket memproses pil ekstasi terbesar di negara ini dan merampas 200 kilogram adunan dadah tersebut berikutan tertangkapnya 15 individu termasuk dua wanita warga asing dalam beberapa serbuan di Jerantut, Pahang dan di Lembah Klang hari ini.
Kejayaan itu adalah hasil risikan dan tindakan pantas Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman.
Dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 4 pagi, polis menyerbu sebuah banglo di Jerantut yang dijadikan makmal memproses pil ekstasi serta stor simpanan dadah tersebut.
Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Haris Wong Abdullah ketika dihubungi berkata, dalam operasi tersebut, seorang warga China yang dipercayai ‘raja dadah’ telah berjaya diberkas.
Menurut beliau, turut dirampas ialah dadah jenis kokain seberat lima kilogram serta pelbagai jenis perkakasan yang digunakan untuk menghasilkan dadah jenis ekstasi di makmal terbabit.
“Dalam serbuan itu juga, kita telah menahan enam individu yang merupakan ahli anggota terbabit.
“Susulan itu, kita seterusnya berjaya membuat sembilan lagi tangkapan di beberapa lokasi antaranya Genting Highlands, Shah Alam dan di beberapa lagi lokasi di ibu negara petang ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Haris memberitahu, nilai rampasan kesemua dadah itu masih dalam siasatan pihaknya.
“Dengan penangkapan kesemua suspek, polis percaya berjaya menumpaskan satu sindiket memproses pil ekstasi untuk edaran pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.
“Semua suspek kini telah ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Haris menegaskan satu sidang akhbar akan dibuat dalam masa terdekat untuk memaklumkan tangkapan itu secara terperinci.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya di laman sosial Twitter hari ini turut mengucapkan tahniah atas kejayaan tersebut.
“Syabas STING @PDRMsia rampas 200 kg adunan pil ekstasi dan 5kg kokain di makmal haram di Jerantut. Tangkap 15 di Lembah Klang dan Jerantut. Go PDRM Go,” katanya.