21 OGOS 2015
Cecair syabu bernilai RM15 juta dirampas Akaun Twitter Tan Sri Khalid Abu Bakar.
BUKIT MERTAJAM - Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman membongkar makmal dadah dan merampas cecair syabu bernilai RM15 juta di sebuah rumah di sini awal pagi tadi.
Dalam serbuan kira-kira 1 pagi itu, lima lelaki termasuk dua warga Iran ditahan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter mengesahkan penahanan itu dan berkata pihak polis berjaya merampas 324 kilogram (kg) cecair syabu bernilai lebih RM15 juta.
"Syabas STING @PDRMSIA berjaya bongkar makmal haram di BM Pulau Pinang. Rampas 324 kg cecair syabu bernilai lebih RM15 juta.
"Tangkap lima orang termasuk dua Iran,Go PDRM Go," twitt Khalid.
Sementara itu sumber berkata STING turut merampas sejumlah wang tunai yang dipercayai hasil kegiatan mengedar dadah oleh anggota sindiket berkenaan.
Katanya sindiket itu dipercayai didalangi warga asing dan cecair berkenaan dibawa masuk dari luar negara.
"Sindiket itu dipercayai berpindah randah dari satu tempat ke tempat bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.
Lima lelaki yang berusia antara 20 hingga 50 tahun kini direman bagi membantu siasatan, katanya dan menambah beberapa lagi anggota sindiket berkenaan
sedang dikesan. - Bernama