ALOR SETAR 20 Ogos – Sebuah bot nelayan tempatan kelas C bernilai lebih RM1 juta yang dilarikan sekumpulan perompak dipercayai warga Thailand di perairan Kedah Sabtu lalu berjaya ditemukan semula dua hari kemudian di Pulau Taratao, Thailand.
Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Utara, Laksamana Pertama Tan Kok Kwee berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian rompakan bot yang pertama kali berlaku di utara perairan negara itu daripada Jabatan Perikanan Kuala Kedah kira-kira pukul 10.45 pagi, Ahad lalu.
Menurutnya, melalui siasatan yang telah dijalankan, pihaknya mendapati bot tersebut dirompak kira-kira pukul 11.30 malam Sabtu lalu kira-kira 2.16 kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand atau kira-kira 72 kilometer barat Pulau Langkawi.
“Ketika kejadian, bot milik rakyat tempatan bersama seorang tekong dan empat awak-awak warga Thailand telah dinaiki kira-kira lima perompak dipercayai Thailand yang memakai topeng dan membawa dua hingga tiga laras senjata M-16.
“Perompak tersebut dipercayai datang melalui perairan negara jiran dengan menaiki sebuah bot dan mereka menaiki sebuah bot nelayan negara ini untuk merapat ke bot yang ingin dirompak,” katanya dalam sidang akhbar di Maritim Malaysia Kuala Kedah di sini hari ini.
Ujar Kok Kwee, perompak telah melepaskan beberapa das tembakan ke udara, merampas telefon bimbit pekerja bot nelayan itu, alat komunikasi dan memaksa kesemua pekerja bot terbabit menaiki sebuah bot lain untuk pulang ke Kuala Kedah.
“Perompak tersebut dipercayai ingin menuntut wang tebusan daripada pemilik bot jika mahu mendapatkan semula bot itu.
“Sebelum melarikan bot nelayan ke perairan Thailand, perompak telah memberi amaran dalam bahasa Thailand supaya kejadian itu tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa dan jika mereka ingkar bot akan dibakar,” jelasnya.
Tambah Kok Kwee, bertindak atas maklumat pada Ahad lalu, Maritim Malaysia telah menghubungi Pegawai Perhubungan Khas Satun-Langkawi bagi mendapatkan bantuan pihak berkuasa Thailand untuk mengesan bot tersebut yang dipercayai masih berada dalam perairan Thailand.
“Kurang 24 jam selepas itu, bot tersebut dijumpai dalam keadaan bersauh dan ditinggalkan perompak di kawasan Pulau Taratao iaitu kira-kira 6.3 kilometer dari Timur Pulau Taratao, pada pukul 11 pagi waktu Malaysia.
“Kejadian ini merupakan kejadian rompakan yang pertama di utara perairan negara dan kita akan meningkatkan rondaan di kawasan Selat Cincin, Kuala Kedah dan kawasan Barat Pulau Langkawi kerana dipercayai ada beberapa kumpulan kecil perompak yang mungkin akan melakukan rompakan di kawasan kita,” jelasnya.
Dalam pada itu, pemilik bot berkenaan, Tan Oon Hua, 55, berkata, kejadian itu merupakan yang pertama dilaluinya dalam tempoh 30 tahun namun bersyukur kerana bot tersebut berjaya ditemukan semula.