WARTAWAN SINAR HARIAN
Penunggang motosikal maut rempuh lori ayam Mayat mangsa ditutup dengan kain sebelum dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
KOTA BHARU - Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikalnya dipercayai hilang kawalan lalu merempuh lori ayam diparkir di tepi jalan di Jalan Pasir Hor di sini semalam.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas GT 100, dari arah Pasir Hor menghala ke Wakaf Che Yeh dan ketika sampai di tempat kejadian melanggar bahagian kanan lori terbabit.
Sebelum kejadian, pemilik ayam proses berkenaan mengalihkan lori dari stor simpanan ayam proses terbabit ke bahu jalan menghala ke Wakaf Che Yeh kira-kira jam 5 pagi, bagi memudahkan lori pembekal masuk ke stor penyimpanan ayam terbabit yang ditempah pelanggan.
Namun penunggang motosikal, Zulkifli Abdullah, dipercayai terlanggar belakang lori berkenaan dan meninggal di tempat kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan menerima laporan kejadian.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk siasatan lanjut.