JASIN 8 Ogos – Seorang bapa dan bayi lelakinya yang baru berusia lima bulan, maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan yang terhumban ke dalam sebatang sungai di Kilometer 30, Jalan Melaka-Muar di persimpangan Jalan Salim-Jalan Laidin, Merlimau, di sini hari ini.
Nahas berlaku kira-kira pukul 5.30 petang membabitkan kereta Mazda 3 yang dinaiki mangsa, Muhammad Faris Zainal Abidin, 27, bersama isteri, Hasirah Diana Zakaria, 24, dan bayi lelaki mereka, Putra Muhammad Arif.
Kenderaan itu dipercayai gagal dikawal sebelum merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.
Menurut saksi, iaitu penduduk kawasan itu, Abdullah Said, 58, kereta dinaiki tiga beranak itu dipercayai merempuh belakang MPV tersebut dan mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Sebatu di tepi jalan tersebut.
Katanya, kemalangan itu turut menyebabkan ibu bayi berkenaan cedera parah di bahagian leher dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar, Johor.
“Bapa dan bayi dalam Mazda 3 itu meninggal dunia di tempat kejadian, dipercayai akibat lemas.
“Pasangan suami isteri yang menaiki MPV tersebut bagaimanapun hanya cedera ringan dan dikejarkan ke hospital yang sama di Muar,” katanya sambil memberitahu identiti pasangan suami isteri itu belum dikenali.
Abdullah yang tinggal tidak jauh dari tempat kejadian mendakwa, lokasi kemalangan itu sering berlaku nahas yang meragut nyawa.
Mayat dua beranak yang maut dalam kejadian itu dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat.
Sementara itu, Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Masri Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.08 petang mengenai kemalangan itu dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Enam orang anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Tambahnya, dua daripada mangsa termasuk seorang bayi lelaki meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga lagi mangsa tersepit dan berjaya dikeluarkan daripada kenderaan dengan bantuan orang awam.