JEMPOL 6 Ogos – Polis sedang mengesan teman lelaki kepada budak perempuan berusia 11 tahun yang melahirkan bayi lelaki di sebuah klinik swasta di Bahau dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hamzah Alias berkata, polis telah merakamkan keterangan mangsa dan masih lagi menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Kita tidak boleh mendedahkan siapa teman lelaki budak perempuan itu.
“Usaha untuk mengesan teman lelaki budak itu telah dilakukan sejak semalam dan ia akan dipergiatkan hari ini dan seterusnya,” katanya di sini hari ini.
Hamzah berkata, buat masa ini budak perempuan itu dan bayi lelakinya berada dalam keadaan baik dan sihat.
“Dia kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” tegasnya.
Dalam kejadian semalam, seorang murid perempuan darjah lima sebuah sekolah di sini mengejutkan orang ramai apabila melahirkan bayi lelaki di sebuah klinik swasta.
Murid berkenaan yang mengadu sakit perut sejak beberapa hari sebelumnya, telah memaklumkan kepada ibunya yang juga seorang pembantu kedai, nenek dan bapa saudaranya sebelum dihantar ke sebuah klinik.
Sebaik sahaja tiba di klinik itu, doktor terkejut selepas mengesahkan murid perempuan itu mengandung dan akan melahirkan anak.
Dengan bantuan doktor, bayi itu selamat dilahirkan secara normal pada pukul 10.15 pagi, sebelum dihantar ke hospital di Kuala Pilah untuk rawatan lanjut.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai murid tersebut.
“Maaf, saya tidak dapat mengulas lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Norhayati Omar berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan sentiasa memantau perkembangan keluarga, murid itu serta bayinya.
“Kita akan terus berikan nasihat kepada mereka dan menerima apa yang telah berlaku. Yang penting, kesihatan murid perempuan itu dan bayinya dijaga. Kita tidak mahu terlalu memberikan tekanan kepada mereka,” katanya.