MACHANG 17 Julai - Enam maut termasuk seorang bayi berusia enam bulan dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan di Kilometer 63 Jalan Kuala Krai -Kota Bharu berdekatan Kampung Bunut Payung di sini petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu dipercayai berlaku selepas kereta Proton Saga
dari arah Kota Bharu ke Kuala Krai bertembung dengan Perodua Myvi dari arah bertentangan.
Mangsa yang maut dalam kereta Perodua Myvi ialah Irwan Mohd. Zain,33, isterinya, Siti Khadijah Ibrahim, 33, dua anak mereka iaitu Muhammad Zahran Arfan,4, dan bayi berusia enam bulan, Muhammad Zahrin Ariq.
Sementara mangsa di dalam kereta Proton Saga yang maut ialah Nurul Atikah Abdul Aziz,26 dan Mohd. Zakuan Aiman,6.
Pemangku Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintenden Ashraff Ali Kutti berkata, lima mangsa terbabit maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Krai. - UTUSAN ONLINE