ALOR GAJAH - Dua mangsa kemalangan maut di Jalan Bukit Putus, Tebong di sini semalam dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang Selangor bagi menyambut Aidilfitri di Sarawak sebelum terlibat dalam nahas yang melibatkan tiga kenderaan.
Tuzri Miskam, 45, berkata anaknya Nurul Azwa Syareza, 21, yang maut dalam nahas itu merupakan anak sulung daripada dua beradik itu sangat rapat dengan ibunya yang tinggal di Sarawak selepas dia dan isteri, Siti Halijah Ramli bercerai kira-kira setahun lepas.
Beliau berkata, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya itu kira-kira 3 petang dan mangsa memberitahunya dia dan sepupunya dalam perjalanan ke KLIA untuk pulang ke Sarawak sebelum gagal menghubunginya pada pukul 6 petang.
"Saya dan keluarga dari Mersing Johor kemudian bergegas ke Hospital Alor Gajah selepas dimaklumkan berita kemalangan menimpanya daripada emak saudaranya," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan bilik mayat di Hospital Alor Gajah, di sini hari ini.
Jenazah Nurul Azwa Syareza dan sepupunya Nur Fazira Ahmad Man, 19, akan dibawa pulang ke Sarawak dan dikebumikan di kampung mereka di Simunjan, Sarawak, lewat petang ini.
Empat mangsa maut dalam nahas itu, termasuk dua anggota tentera, Mohamad Isa Ismail, 27 dan Nur Haizam Zamri, 19, dari Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4.15 petang selepas kereta yang dinaiki dari arah Tampin ke Gemencheh, Negeri Sembilan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar dua lagi kereta lain.
Sementara itu, Siti Nor Ramli, 34, ibu saudara kepada Nurul Azwa Syareza dan Nur Fazira Ahmad Man berkata kedua-dua anak saudaranya itu dari Gemas ke KLIA untuk pulang ke kampung sempena cuti Hari Raya.
Dia yang merupakan anggota tentera di Unit Semboyan Diraja Kem Sungai Besi berkata kedua-dua mangsa bergerak dari rumah kira-kira jam 2.30 petang selepas meninggalkan kunci rumah saya yang mereka duduki kepada jirannya.
"Nurul Azwa Syareza menghantar mesej melalui WhatsApps bahawa mereka dalam perjalanan ke KLIA pada pukul 3 petang dan saya cuba menghubungi mereka pada pukul 4 petang tetapi tidak berjawab sebelum mendapat panggilan tentang kemalangan menimpa mereka kira-kira jam 7 malam," katanya yang juga ditemui di Hospital Alor Gajah.
Siti Nor berkata, ketika menerima panggilan berkenaan dia telah sampai di KLIA untuk menanti ketibaan anak saudaranya yang akan pulang ke Kampung Lalang Gedong, Simunjan, Sarawak dengan menaiki penerbangan pukul 9.30 malam.
Beliau berkata, kedua-dua anak saudaranya itu merupakan pelajar jurusan Teknologi Maklumat (IT) di Kolej Komuniti Segamat dan sering berulang-alik antara asrama dengan rumahnya di Gemas sebelum dia berpindah ke Kem Sungai Besi, Isnin lepas.
"Kedua-duanya adalah sepupu dan mereka sangat rapat dengan saya dan selalu akan tidur satu tilam apabila bermalam di rumah.
"Tiada perubahan ketara yang ditunjukkan selain kedua-dua mereka menjadi lebih pendiam dan kurang bercakap. Mereka sempat keluar bersama saya Ahad lepas untuk membeli baju raya dan tudung termasuk untuk ibu masing-masing," katanya.
Sementara itu, tunang kepada Mohamad Isa, Nurul Asyikin Mohd Asri, 24, berkata, kali terakhir beliau berhubung dengan bakal suaminya itu kira-kira pukul 2.30 petang.
"Saya tidak mengetahui dia hendak ke KLIA untuk menghantar rakannya. Dia meninggal pada ulang tahun kelahiran saya semalam dan dia sepatutnya berjumpa dengan saya esok di Pontian untuk membeli baju raya," katanya.
Beliau berkata, dia dan Mohamad Isa telah merancang untuk berkahwin pada Nov depan dan separuh daripada persiapan majlis tersebut telah dilakukan.
Jenazah Mohamad Isa dibawa pulang ke Kuala Kedah dan akan dikebumikan lewat petang ini. – Bernama