JOHOR BAHRU - “Saya rasa dunia seperti mahu kiamat dan ini adalah detik yang menakutkan dalam hidup saya,” cerita Haerul Anwar Tamrin, 23, salah seorang mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Tahana, Jalan Padu, Larkin, di sini, tengah malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, enam rumah setinggan musnah sehingga menyebabkan kerugian yang dianggarkan lebih kurang RM30,000.
Menurut Haerul Anwar yang bekerja sebagai buruh berkata, dia bersama neneknya, Zubaidah Muin, 70 serta mak saudaranya, Nor Azizah Jalil, 23 sedang berehat di bilik masing-masing dan sebelum terasa rumah mereka bergegar seperti dilanda gempa bumi.
“Bekalan elektrik terus terpadam dan dalam keadaan panik, perkara pertama yang saya fikir adalah untuk selamatkan nenek saya kerana dia telah terperangkap dan lemas dalam biliknya sebelum terdengar jeritan mak cik minta tolong.
“Pintu rumah dan bilik sudah tidak boleh terbuka. Saya terpaksa menggunakan tangan dan kaki saya untuk pecahkan tingkap bagi keluarkan nenek dan masuk semula ke rumah untuk menyelamatkan mak cik saya pula.
“Kemudian, saya melihat keadaan huru-hara di luar rumah dan jiran-jiran saya turut berusaha menyelamatkan diri masing-masing. Rumah yang keluarga saya diami sejak 28 tahun itu ranap sekelip mata,” katanya kepada Sinar Harian.
Persiapan kahwin rosak
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, operator kilang, Nor Halis Hasnawi, 24 yang bakal mendirikan rumah tangga November ini tidak dapat menahan air mata selepas segala persiapan perkahwinannya tidak dapat diselamatkan.
“Pada masa itu, saya seorang diri di rumah kerana ibu saya ke rumah kakak dan saya bernasib baik kerana terdengar jeritan jiran-jiran meminta tolong buatkan saya sedar kejadian itu.
“Sebelum ini, tiga kejadian tanah runtuh kecil pernah berlaku di jalan utama rumah kami sekitar April dan Mei lepas dan aduan telah dibuat kepada pihak pemaju yang berkenaan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Shahrulimah Ikhsan, 39 berkata, dia dan keluarga buntu memikirkan nasib mereka kerana rumah berkenaan satu-satunya peninggalan keluarga mereka dan telah mendiami rumah itu sejak berumur sembilan tahun lagi.
Ibu kepada anak lima berumur lima hingga 21 tahun itu memberitahu ketika kejadian, suaminya Sukriadi Abdul Ramas, 55, baru pulang ke rumah dan secara tiba-tiba mereka terdengar seperti hujan batu dan terus keluar untuk menyelamatkan diri masing-masing.
“Saya tidak tahu bagaimana nasib kami selepas ini kerana kebanyakan saudara saya tinggal jauh. Mungkin duit simpanan untuk persiapan Aidilfitri ini akan digunakan untuk membaiki rumah yang rosak teruk itu dahulu,” katanya.
Bantuan segera dihulurkan
Nasib yang menimpa enam keluarga itu turut mendapat perhatian Pengerusi Kebajikan Parlimen Johor Bahru, Faridah Mustafa yang turun padang menghulurkan bantuan kecemasan berjumlah RM500 bagi setiap keluarga serta pakaian terpakai untuk mereka.
“Bantuan ini diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mereka. Kita akan merujuk perkara ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyediakan tempat tinggal sementara kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah (I) Johor Baharu Selatan, Superintenden Abdul Wahib Musa berkata, kejadian tersebut melibatkan 24 mangsa yang terdiri daripada 11 lelaki dan sembilan perempuan serta empat kanak-kanak.
“Bagaimanapun, kesemua mangsa terselamat dalam kejadian itu. Mangsa terdiri daripada warga Indonesia yang bermastautin tetap di sini dan telah mendiami rumah yang didirikan sebagai rumah setinggan.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dan kerugian dianggarkan sebanyak RM30,000 melibatkan enam rumah dan tiga buah motosikal tertimbus,” katanya.
Masih berisiko runtuh
Abdul Wahib, pihak polis akan menghubungi pejabat tanah bagi memastikan tindakan selanjutnya diambil, selain memanggil Syarikat Air Johor Sdn Bhd dan Tenaga Nasional Bhd bagi memastikan bekalan air dan elektrik dapat disambung semula setelah terputus bekalan akibat kejadian itu.
“Pihak bomba telah membuat kajian awal dan mendapati struktur tanah masih berisiko untuk menghadapi kejadian tanah runtuh lagi terutama sekiranya kawasan kampung itu mengalami hujan.
“Pihak polis akan menjalankan siasatan seterusnya dan akan menghubungi pihak kontraktor pada bila-bila masa sahaja untuk menjelaskan kepada mereka bahawa kerja-kerja mungkin patut diberhentikan sementara waktu untuk menilai risiko keruntuhan tanah ini,” katanya.
Kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan tapak pembinaan yang dipercayai dijadikan kedai dan restoran bersebelahan kampung berkenaan telah didiami lebih 20 tahun dan mempunyai 31 rumah serta dihuni kira-kira 200 orang penduduk.
Sementara itu, Komander operasinya, Pegawai Bomba Kanan II, Nazaruddin Yusoff berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan 1.04 pagi, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru dengan kekuatan enam anggota dikerahkan ke tempat kejadian dan tiba 14 minit kemudian.
“Operasi kemudian berjaya ditamatkan kira-kira jam 2.13 pagi dan 10 rumah di kawasan berdekatan disarankan untuk berpindah kerana keadaannya yang tidak selamat untuk didiami,” katanya.
Penduduk diarah pindah
Dalam perkembangan terkini, kerajaan negeri akan memindahkan dua keluarga mangsa (warga tempata) kejadian tanah runtuh itu ke rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Cendana, Pasir Gudang.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Abdul Latif Bandi, manakala, baki, empat lagi keluarga yang merupakan bukan warga negara ini akan akan dirujuk dengan Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, bagaimanapun, kira-kira 200 lagi penduduk yang berhampiran di kawasan kejadian tanah runtuh itu akan diarahkan supaya segera berpindah kerana lokasi tersebut berbahaya untuk didiami.
“Hasil siasatan awal mendapati, terdapat enam rumah yang terlibat dalam kejadian tersebut dan penghuni dua buah rumah terlibat merupakan rakyat tempatan, manakala penghuni empat lagi merupakan rakyat asing.
“Dalam masa yang sama, kita minta juga penduduk sekitar kawasan ini agar segera berpindah dan sekiranya mereka enggan, kita akan keluarkan notis perpindahan untuk tempoh 14 hari.
“Kita khuatir kejadian seperti ini akan berulang kerana kawasan ini bukan sahaja tidak selamat untuk tinggal, malah ia adalah kawasan tanah rizab milik kerajaan,” katanya kepada media ketika membuat lawatan ke lokasi kejadian itu, di sini, semalam.
Abd Latif juga telah mengarahkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Pejabat Tanah dan Galian untuk menyiasat insiden tersebut dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya kerana kejadian ini dipercayai berpunca daripada kerja-kerja penambakan tanah di kawasan itu.
“Difahamkan pemaju yang melakukan penambakan di situ telah membuat permohonan dengan MBJB, namun ianya ditolak dan mereka telah membuat penambakan dengan membuang sisa bahan binaan di situ sejak 2013.
“Kita akan siasat adakah ia melanggar peraturan, kalau ikut laporan pejabat tanah, kawasan itu digunakan untuk buang bahan binaan. Jadi, kita kena siasat itu semua dengan terperinci termasuk adakah mereka mohon untuk buat kerja penambakan.
“Mereka boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM50,000 jika mereka didapati bersalah di bawah Akta Parit, Jalan dan Bangunan 133,” katanya.