PARIS 24 Jun – Amerika Syarikat (AS) terus mencabuli kedaulatan negara lain termasuk sekutu rapatnya apabila dilapor mengintip tiga Presiden Perancis, termasuk Francois Hollande yang kini memimpin kerajaan Paris, dedah laman web WikiLeaks.
Kesemua pendedahan itu dibongkar daripada dokumen yang diklasifikasikan sebagai ‘Rahsia Sulit’ dan dilaporkan buat kali pertama melalui kerjasama akhbar Perancis, Liberation dan laman web, Mediapart.
Dokumen berkenaan turut mendedahkan keputusan Hollande meluluskan pertemuan rahsia ekoran tindakan Greece keluar daripada zon Eropah pada awal 2012 berdasarkan rakaman perbualan telefon Presiden tersebut.
Menurut laporan akhbar dan laman web terbabit, Washington melakukan pengintipan terhadap tiga presiden Perancis dalam tempoh enam tahun iaitu bermula 2006 hingga 2012, menyebabkan Hollande mengadakan mesyuarat majlis keselamatan bagi membincangkan pendedahan yang disiarkan dalam akhbar dan mencari penyelesaian tentang isu itu.
Berdasarkan pendedahan itu, bekas Presiden, Jacques Chirac dan Nicolas Sarkozy juga pernah diintip sebanyak lima kali oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) AS dan pencerobohan paling baharu dilakukan pada 22 Mei 2012, hanya beberapa hari selepas Hollande menjadi Presiden.
“Melalui perbualan dengan Canselor Jerman, Angela Merkel, Hollande percaya pemimpin Jerman itu telah berputus asa (terhadap keputusan Greece) dan tidak mahu berganjak.
“Situasi itu membuatkan Hollande bimbang terhadap nasib Greece dan rakyatnya yang mungkin bertindak menyokong parti ekstremis,” jelas dokumen sulit tersebut.
Fail yang sama turut mendakwa pemimpin Perancis itu menyokong usaha Merkel mengadakan mesyuarat di Paris bersama ahli Parti Sosial Demokrat yang ketika itu merupakan parti utama pembangkang Jerman.
Satu lagi dokumen bertarikh 2008 dinamakan sebagai Hanya Sarkozy mampu menyelesaikan krisis kewangan dunia dan mendedahkan tentang tindakan bekas Presiden itu menyalahkan kesilapan kerajaan AS sebagai punca masalah ekonomi dunia, tetapi beliau percaya Washington kini mula memandang serius beberapa nasihatnya.
Bagaimanapun kerajaan Perancis dan AS enggan mengulas lanjut tentang pendedahan kontroversi itu.
Pada 2013, bekas kontraktor pertahanan NSA, Edward Snowden mendedahkan aktiviti pengintipan secara berleluasa yang dilakukan oleh Washington terhadap pemimpin dunia termasuk Brazil, Perancis, dan Mexico, sekali gus mencetuskan kemarahan seluruh dunia. – AFP