Ia rentetan penemuan empat kubur besar PATI dan rangka manusia dalam operasi khas di Padang Besar dan Wang Kelian di sini, oleh anggota pasukan komando VAT 69 dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan itu, baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tugas pemantauan sebarang salah laku di kawasan hutan itu terletak di bawah tanggungjawab Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.
“Di sini adalah Taman Negeri yang di bawah tanggungjawab Jabatan Perhutanan negeri dan persoalannya mengapa tiada penguatkuasaan rapi oleh renjer hutan di kawasan ini untuk memantau sebarang aktiviti jenayah seperti pemerdagangan manusia.
“Kejadian ini (aktiviti penyeludupan manusia) dipercayai berlaku akibat pengabaian renjer hutan membuat pemantauan berterusan di kawasan berhampiran Gunung Perlis hingga menyebabkan puncak gunung dapat dijadikan kem transit bagi aktiviti ini.
“Sepatutnya pemantauan perlu dilakukan lebih kerap dengan meninjau perkembangan yang berlaku di sekitar kawasan ini kerana puncak gunung itu hampir dengan Thailand,” katanya selepas melawat kawasan yang dipercayai dijadikan laluan PATI berhampiran Taman Negeri Perlis di sini, semalam.
Tinjauan Harian Metro di lokasi menuju ke hutan Gunung Perlis mendapati ia terletak di belakang Taman Negeri Perlis di Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian, kira-kira satu kilometer dari kaunter pemeriksaan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di laluan itu.
Lokasi ke kawasan yang menjadi laluan PATI pula terletak dua kilometer dari pintu sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian manakala lokasi hutan itu terletak 50 meter dari jalan besar dan terdapat sebuah menara telekomunikasi di kawasan itu.
Sementara itu, sumber berkata, kubur itu sudah wujud sekurang-kurangnya enam bulan lalu dan memerlukan keseluruhan tiga jam pendakian sama ada untuk turun dan naik ke puncak gunung berkenaan.
Menurutnya, PATI hanya akan dibawa turun jika ada permintaan daripada tekong darat dan kenderaan seperti lori yang digunakan akan berhenti di sebuah denai yang muat untuk dilalui sebuah lori tiga tan bagi aktiviti pemerdagangan manusia di kawasan itu.
Katanya, sehingga kini, kira-kira 130 mayat sudah ditemui di puncak gunung berkenaan.
“Berdasarkan maklumat, PATI yang dibawa masuk ke negara ini akan diletakkan di kawasan kem yang terletak di puncak gunung itu yang turut dijadikan lokasi transit sebelum dibawa turun jika terdapat permintaan daripada mana-mana pihak.
“Lubang besar yang dijadikan kubur berkenaan dipercayai sudah wujud sekurang-kurangnya enam bulan lalu dan berada di puncak gunung iaitu kira-kira dua kilometer dari pintu sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian dan 100 meter dari laluan Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian,” katanya.
Di Kajang, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau turut dimaklumkan PGA dan VAT 69 menemui 14 khemah besar dan tiga khemah kecil terletak di sempadan Malaysia dan Thailand.
“Saya dimaklumkan mengenai penemuan kubur itu dan 17 khemah berkenaan pada minggu lalu oleh PGA dan unit Komando VAT 69.
“Khemah-khemah itu dipercayai sudah beroperasi sekurang-kurangnya lima tahun dan ia ditinggalkan ketika pihak berkuasa tiba di tempat kejadian.
“Kubur-kubur itu dikenal pasti sebagai kubur pelarian dalam aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Keluarga 1 KDN di Maktab Penjara Malaysia, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan timbalannya Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, semalam sudah berada di sempadan Malaysia dan Thailand untuk melakukan pengecaman dan pengesahan.
Khalid dijangka mengadakan sidang media berhubung penemuan kubur berkenaan hari ini.