Ampang: Kematian Nur Istihar Balqis Shahrul Mahfuz selepas kereta dipandu ibunya terhumban ke longkang besar di Sering Ukay, Ukay Perdana di sini malam kelmarin, mengulangi tragedi hampir sama dua tahun lalu.
Bapa kanak-kanak berusia tujuh tahun itu, Shahrul Mahfuz Abdul Satar, 25, berkata, pada 2013, anak keduanya yang juga adik kepada Nur Istihar Balqis turut terkorban dalam kemalangan jalan raya ketika menaiki kereta dipandu isterinya, Nurul Fatin Yakob, 26.
“Saya tidak sangka tragedi seperti dua tahun lalu akan berulang. Pada 2013 di Johor, isteri saya memandu kereta Mini Cooper sebelum terbabas menyebabkan anak perempuan kami yang ketika itu berusia dua tahun meninggal dunia.
“Kini, hanya tinggal seorang anak lelaki berusia setahun. Apapun, saya reda dengan ujian dan ketentuan Allah,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, kemalangan kelmarin berlaku ketika isterinya dalam perjalanan membeli makanan di kawasan tidak jauh dari rumah mereka
“Jarak lokasi kemalangan dan kediaman saya hanya 800 meter,” katanya.
Menurutnya, sebelum itu dia menerima panggilan isterinya jam 7 malam yang memaklumkan ingin keluar bersama anak sulung mereka untuk membeli makan malam.
Katanya, ketika itu dia berada di rumah rakan bagi membincangkan urusan perniagaan dan bercadang pulang sejurus kemudian.
Shahrul Mahfuz yang mempunyai perniagaan menjual kenderaan memberitahu, dia diberitahu isteri dan anak perempuannya ditimpa kemalangan jam 10 malam dan segera ke lokasi nahas.
Sementara itu, saksi kejadian mahu dikenali sebagai Bardur, 40, yang juga pengawal keselamatan di kawasan perumahan berhampiran lokasi kejadian, berkata, dia sempat melihat kereta Chevrolet Colorado dinaiki mangsa terhumban ke dalam longkang setelah merempuh penghadang besi.
Menurutnya ketika kejadian jam 9.40 malam itu, dia mendengar jeritan wanita meminta tolong sebelum kenderaan dipandunya seakan-akan hilang kawalan sebelum terhumban ke longkang.
“Saya tidak sempat berbuat apa-apa kerana kenderaan dinaiki bergerak terlalu laju,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Dalam kejadian itu Nur Istihar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditemui pasukan penyelamat di tempat duduk belakang kenderaan.
Nurul Fatin yang dijumpai parah selepas tercampak tiga meter daripada kenderaan dan dikejarkan ke Hospital Ampang bagi menerima rawatan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Mohd Nizam Abd Razak berkata, satu jentera dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan bagi melakukan kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa daripada kenderaan.
“Kami menerima panggilan jam 9.47 malam sebelum tiba 30 minit kemudian. Ketika itu bomba mendapati seorang kanak-kanak di tempat duduk penumpang dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan berkata punca sebenar kemalangan masih disiasat pihaknya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 11:55 AM

KERETA pacuan empat roda terbabas ke longkang sedalam empat meter di Sering Ukay, Ukay Perdana.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49742#sthash.ISWWGonJ.dpuf