KUALA LUMPUR 1 Mei - Kerja senang. Sindiket yang menjalankan kegiatan mengutip derma atas alasan membangunkan masjid atau pusat tahfiz di sekitar ibu negara bukan sahaja tidak memerlukan kos operasi tinggi malah mampu meraih pulangan lumayan dalam masa singkat.
Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, sikap rakyat Malaysia yang pemurah menjadi salah satu faktor penggalak mengapa aktiviti ini sukar dibendung.
Katanya, dalam masa sama, kanak-kanak seolah-olah dilatih untuk menjadi pengemis profesional yang bekerja untuk sindiket dengan anggaran nilai perolehan setiap orang RM200-RM300 sehari.
“Jika ada 20 orang kanak-kanak meminta sedekah, mereka mampu mencapai kira-kira RM6,000 sehari menjadikan jumlah kutipan bulanan mencecah hampir RM20,000. Itu bukan sedikit.
“Mereka akan dihantar ke tempat-tempat awam seawal pukul 9 pagi dan dibiarkan berkeliaran di tengah bandar sehingga lewat malam, kemudian akan ada van menjemput mereka dan dibawa ke hotel dan diberi makan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah beliau, selain sindiket mengutip derma, masalah peminta sedekah dilihat semakin serius malah boleh dikelaskan kepada beberapa kategori lain.
“Ada sesetengah daripada peminta sedekah ini yang memang datang daripada golongan miskin atau tidak mampu, ada juga orang kurang upaya (OKU) mengharapkan simpati masyarakat untuk membantu kehidupan mereka tetapi ada pula yang menjadikan mengemis sebagai hobi.
“Keadaan ini sudah lama berlaku tetapi negara kita masih belum menemui jalan penyelesaiannya. Selain mencemarkan imej Malaysia, kita tidak mahu ia dijadikan punca pendapatan atau pekerjaan mereka,” jelasnya.
Katanya, bagi golongan OKU yang meminta sedekah di premis-premis makanan, pihaknya mahu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjalankan pemantauan ketat bagi mengenalpasti sama ada mereka telah diberi elaun sara hidup atau tidak.
“Kerajaan perlu ambil berat hal ini, jangan dibiarkan golongan tersebut menjadi semakin melarat. Jika layak, bantu mereka tetapi jika tidak layak, mungkin ada cara lain,” katanya.