SABAK BERNAM 23 April - Seorang warga emas kerugian wang simpanan sebanyak RM15,000 selepas ditipu wanita warga asing bersama seorang lelaki warga tempatan di Sekinchan di sini, Selasa lalu.
Mangsa, Mukadi Resad, 68, mendakwa, sebelum kejadian, dia baharu mengeluarkan wang dari sebuah bank di sini sebelum didatangi seorang wanita yang merayu kepadanya supaya menjadi penjamin bagi membantu menuntut wang hadiah yang dimenangi melalui pertaruhan nombor ramalan.
“Wanita itu menghampiri dan merayu kepada saya supaya jadi penjamin kerana dia menang nombor ekor. Wanita itu memberitahu kepada saya beliau berasal dari Indonesia dan tak boleh menuntut wang hadiah pertaruhan itu selagi tak ada penjamin orang tempatan.
“Bagaimanapun, saya bagi alasan kena balik cepat sebab nak ambil cucu pulang dari sekolah. Namun selepas itu datang pula seorang lelaki yang memujuk saya supaya bantu wanita itu yang dalam kesusahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Limau di sini, hari ini.
Tambah Mukadi, dia kemudiannya secara tidak sedar menuruti kedua-dua individu terbabit dan menaiki sebuah kereta sebelum memasuki bank yang sama sejurus selepas itu.
“Semasa berada dalam kereta, wanita itu menceritakan kesusahan yang dialami, termasuk memerlukan wang segera disebabkan kakak iparnya nak bersalin di Teluk Intan. Kemudian mereka meminta saya mengeluarkan wang untuk didahulukan kepada wanita terbabit dengan mengisi borang pengeluaran wang yang terdapat di dalam kereta itu.
“Saya pun isi borang. Mula-mula dia minta RM30,000 tetapi saya tegas untuk keluarkan RM15,000 saja dan mereka pun tak cakap banyak lalu meletakkan kereta selang beberapa bangunan dari bank terbabit.
“Sebaik keluar dari bank, saya masuk semula ke dalam kereta. Mereka kemudiannya mengambil wang terbabit dan memberitahu saya perlu membuat salinan MyKad untuk menjadi penjamin bagi membolehkan wanita itu menebus wangnya di kedai nombor ekor,” jelasnya lagi.
Katanya lagi, lelaki itu kemudiannya menurunkannya di sebuah restoran dengan alasan bagi memudahkannya mencari mana-mana kedai berhampiran yang menyediakan perkhidmatan mesin fotostat.
“Saya tengok sebuah kedai tutup dan saya pergi ke sebuah kedai lain, tapi tak ada pula mesin fotostat di kedai itu. Sebaik keluar dari kedai, saya tengok kereta terbabit sudah tiada,” ujarnya yang tidak menolak kemungkinan dipukau ketika kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu.
Menurutnya, dia telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar kira-kira pukul 2 petang pada hari yang sama.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd. Zohdi ketika mengunjungi Mukadi di kediamannya di sini berkata, terdapat sekurang-kurangnya empat kejadian warga emas ditipu dengan modus operandi yang hampir sama dalam tempoh sebulan ini.
“Saya difahamkan, ada seorang mangsa ditipu sehingga RM40,000 menggunakan helah dan taktik yang sama. Saya sendiri akan menghantar surat kepada semua pengurus bank di Sungai Besar berhubung perkara ini,” katanya.
Malah, beliau turut meminta institusi kewangan mengambil langkah tambahan terutamanya kepada warga emas yang mengeluarkan wang melebihi amaun biasa termasuk meminta pengesahan daripada waris terdekat bagi mengelakkan kejadian sama berulang.