Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, mereka akan membuktikan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat penaung kepada kumpulan pengganas Tanzim Al-Qaeda Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria dalam ucapan pembukaan pada perbicaraan hari pertama kes membabitkan Yazid dan rakannya, Muhammad Hilmi Hasim yang didakwa terbabit dalam aktiviti menggalakkan keganasan di Syria.
Menurut Mohamad Hanafiah, pihak pendakwaan akan membuktikan Yazid dengan pengetahuannya menggalakkan pelakuan keganasan dengan niat memajukan satu ideologi untuk menakutkan orang awam di Syria.
“Kumpulan Tanzim ini diasaskan sendiri oleh Yazid dan dia ada menjalankan beberapa siri usrah di kediamannya dengan matlamat merekrut ahli baru serta menyebarkan ideologi keganasan. Melalui usrah ini Yazid didakwa menggalakkan perlakuan keganasan.
“Selanjutnya, pihak kami akan membuktikan melalui usrah itu, Yazid menggalakkan perlakuan keganasan yang jelas mengugut masyarakat awam di Syria. Manakala bagi Muhammad Hilmi, kami akan membuktikan bahawa dia bersubahat dengan Yazid dan juga salah seorang ahli kumpulan pengganas itu,” katanya.
Terdahulu Hakim Datuk Mohd Azman Husin dimaklumkan Mohamad Hanafiah bahawa pihaknya masih tidak boleh menyerahkan waran tangkap terhadap seorang lagi tertuduh iaitu Halimah Hussein kerana wanita itu gagal dikesan.
Hakim Mohd Azman meneruskan perbicaraan dengan dua orang tertuduh dan menetapkan 27 Mei ini untuk pengurusan bagi kes membabitkan Halimah.
Sementara itu, saksi pendakwaan Deputi Superintendan (DSP) T Thiagarajah, 51, memberitahu mahkamah pada 23 Oktober 2012, dia diarahkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay (sebelum ini Timbalan Ketua Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Keganasan) Bukit Aman) untuk membuat laporan polis berhubung Yazid.
Thiagarajah berkata, dia membuat laporan polis berdasarkan maklumat di terima berhubung Yazid bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Laporan polis itu menyatakan siasatan dibuat kerana terdapat sebab untuk mempercayai bahawa Yazid bertindak mengikut apa-apa cara memudaratkan keselamatan Malaysia dengan terbabit di dalam kegiatan pengganasan.
Pada 27 Mei 2014, Yazid, 49, dan Muhammad Hilmi, 33, didakwa menjadi ahli kumpulan pengganas Tanzim Al-Qaeda Malaysia di sebuah rumah beralamat di Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang, antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan.
Sebelum ini pada 8 Februari 2013, Yazid, Muhammad Hilmi dan suri rumah Halimah Hussein, 52, mengaku tidak bersalah membabitkan diri dalam aktiviti keganasan di Syria di DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang, antara 1 Ogos 2012 hingga 7 Februari tahun lalu.
Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan denda.
Prosiding perbicaraan bersambung hari ini.
Hanafiah turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farizul Hassan Bakri manakala tertuduh diwakili peguam Amer Hamzah Arshad.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43679#sthash.ZcOx1ADb.dpuf