WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Mac 2015
Tuan Siti Mariam mendukung cucunya di tepi pantai berdekatan chalet miliknya di Kampung Aur.
KAMPUNG AUR - Tragedi lemas yang berlaku pada 18 Februari lalu melibatkan Rosli Arifin, 48, dari Kampung Nara, Pasir Puteh merupakan kejadian pertama sejak 10 tahun chalet itu beroperasi di sini.
Pemilik chalet Sri Aur Telong, Tuan Siti Mariam Awang Nor, 56, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumahnya yang terletak hanya beberapa meter dari pantai.
Menurutnya, banyak rombongan sekolah dan syarikat swasta mengunjungi chalet itu setiap kali musim cuti dan hujung minggu, namun tidak pernah berlaku kejadian lemas.
"Sudah takdir arwah untuk lemas ketika menyelamatkan orang, tetapi dia meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bachok. Ibu arwah ada datang melawat beberapa hari lepas kejadian dan beritahu dia ada nasihatkan arwah agar tidak ke pantai, takut mati lemas. Tetapi itu semua takdir.
"Hanya kes itu sahaja yang berlaku di sini. Dua kematian lagi yang berlaku adalah di Pantai Irama, bukan di sini. Kawasan ini biasanya selamat untuk mandi kecuali kalau ombak besar," katanya.
Sementara itu, kata Tuan Siti Mariam, chalet Sri Aur mempunyai 18 bilik dengan harga serendah RM40 hingga RM80 yang terletak bersebelahan dengan Pudi Chalet.
Katanya, ketika banjir besar Disember lalu, chalet itu menjadi penempatan sementara untuk mangsa banjir yang berkelana dari seluruh negeri.
"Kami sediakan penempatan percuma untuk mangsa banjir kerana kami tahu ramai yang kehilangan tempat tinggal ketika tragedi itu melanda.
"Hanya itu amal jariah yang mampu kami berikan untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya.